Langkah ke belakang kesaksamaan gender
Kejayaan penghakiman kes Noorfadilla Ahmad Saikin yang menyaman Kementerian Pelajaran dan kerajaan kerana menarik balik surat pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) - hanya kerana hamil tiga bulan pada 12 Julai tahun lalu - memberikan harapan bahawa usaha untuk melaksanakan kesaksamaan gender mula menampakkan hasilnya.
Komitmen Malaysia dengan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) sejak tahun 1995 seharusnya menghormati dan bertindak selaras dengan artikel tersebut:
- Artikel 11(1) CEDAW di mana anggotanya hendaklah mengambil langkah -langkah sewajarnya bagi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan.
- Artikel 11(2) CEDAW menyatakan bahawa negara anggota hendaklah mengambil langkah-langkah untuk melarang pemecatan atas alasan mengandung.
Wanita PKR merasakan bahawa langkah kerajaan ini merupakan langkah ke belakang dalam melaksanakan usaha memartabatkan wanita.
Malah, suatu tindakan menghalang wanita Malaysia daripada menerima haknya secara adil selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Tindakan ini juga telah menyebabkan nama Malaysia tercalar di mata dunia apabila penghakiman yang amat penting ini telah dicalonkan untuk anugerah ‘ International Gender Justice Uncovered' oleh Women's Link Worldwide pada tahun ini terjejas.
Wanita PKR juga mendesak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memainkan peranan untuk menghalang tindakan tidak bertamadun ini sebagai bukti kesungguhan dalam mematuhi pemeteraian CEDAW yang telah ditandatangani.
"Gender equality is more than a goal in itself. It is a precondition for meeting the challenge of reducing poverty, promoting sustainable development and building good governance."
-- Kofi Annan
Penulis merupakan naib ketua Wanita PKR dan anggota dewan undangan negeri Taman Medan.

