Penduduk Miri minum air tercemar?
Penduduk Miri menghadapi krisis bekalan air bersih yang paling teruk akibat kebocoran dan tumpahan minyak diesel yang mengalir ke dalam Sungai Liku yang merupa sumber utama bekalan air bersih kepada pengguna di Miri.
Sebuah syarikat pembinaan jalan kira-kira 2 kilometer dari Loji Rawatan Air di Lambir, telah didapati mencemarkan Sungai Liku, dengan tumpahan minyak diesel akibat kebocoran.
Akibat pencemaran sungai tersebut, pihak Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) telah menutup operasi loji serta merta bagi mengelak air yang tercemar masuk ke takungan penapisan dan rawatan.
Seorang pengguna dari kawasan Lutong mengadu kepada pihak kami, adakah air yang diminum oleh penduduk Miri selamat di minum dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna?
Apakah jaminan pihak LAKU, sekiranya berlaku keracunan, akibat terminum air tersebut terhadap pengguna?
Adakah pihak LAKU ada memberitahu kepada pengguna akan kesan dari pencemaran air tersebut dan cara mengatasinya?
Pengguna berhak tahu masalah yang berlaku akibat pencemaran air tersebut, kerana ianya melibatkan kesihatan dan keselamatan pengguna yang mengguna air yang dibekalkan oleh pihak LAKU.
Ramai pengguna merungut kerana sepatutnya pihak LAKU segera memberitahu pengguna akan pencemaran air tersebut kerana mereka khuatir air yang mereka gunakan untuk minum tersebut boleh menjejaskan kesihatan mereka.
Kita bukan hendak menyalahkan sesiapa dalam soal ini, tetapi pihak yang menjalankan kerja-kerja yang melibatkan alam sekitar dan yang berkaitan seharusnya berhati-hati dalam menjalankan tugas mereka.
Akibat kecuaian mereka, ramai yang jadi mangsa dan ini boleh mengakibatkan kematian sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Kita mendesak agar pihak yang bertanggungjawab mencemarkan air bersih tersebut, patut diambil tindakan sewajarnya kerana akibatnya kecuaian mereka melibatkan ramai pengguna dan kehidupan serta alam sekitar terjejas dengan pencemaran tersebut.
Kita berharap pihak LAKU, dapat mengatasi masalah bekalan air bersih ini dengan segera kerana ramai pengguna terkesan akibat pencemaran air bersih dan juga penyatuan air yang bakal mereka hadapi.
Semoga semua pihak dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih bertanggungjawab, amanah serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Penulis merupakan timbalan pesuruhjaya III PAS Sarawak dan yang dipertua kawasan Miri.

