Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berbasikal merupakan salah satu kaedah pengangkutan yang dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran dan melindungi alam sekitar.

Sehubungan itu, sempena Bulan Kepenggunaan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang akan menganjurkan Kempen Berbasikal Kali Ke-15.

Sejak 2006, CAP dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan telah menganjurkan 14 Kempen Berbasikal di Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar, Ipoh, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kangar, Jawi, Balik Pulau.

Dan pada 26 Mei 2013 ini, kami akan mengadakan kempen di Butterworth. Setiap kali kempen diadakan, ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kami berasa amat gembira apabila melihat kempen yang dianjurkan oleh pihak kami berjaya menarik minat pelbagai NGO di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

Kami menggalakkan mereka menganjurkan acara berbasikal atas inisiatif mereka sendiri di bandar mereka sendiri. Malah bilangan mereka yang menggunakan basikal turut meningkat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka dan semoga dapat menganjurkan lebih banyak acara untuk menggalakkan lagi orang ramai berbasikal.

Aktiviti berbasikal telah dipraktikkan sebagai satu bentuk senaman dan rekreasi tetapi CAP ingin melihat berbasikal ini sebagai satu bentuk pengangkutan di bandar.

Kempen Berbasikal ini akan diadakan pada hari Ahad, 26 Mei 2013, jam 8.00 pagi, bermula di tepi Dewan Dato Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang.

Para peserta akan berbasikal melalui jalan-jalan di sekitar Butterworth dan berakhir di tempat permulaan dengan jarak keseluruhan perjalanan sejauh 10 kilometer.

Tujuan kami mengadakan kempen tersebut adalah kerana sebab-sebab yang berikut:

  • Rakyat Malaysia dikatakan kurang mengamalkan senaman dan melalui kempen ini secara tidak langsung membolehkan mereka berbasikal untuk ke sekolah dan ke tempat kerja serta untuk bergerak dalam jarak yang dekat.

  • Dengan berbasikal juga akan meningkatkan kesihatan kerana berbasikal secara tetap menjadikan kita kurang menghidap penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan penyakit lain (Sumber: British Heart Foundation).

  • Basikal adalah murah, mudah, boleh dipercayai dan bentuk pengangkutan yang sesuai serta tidak memerlukan cukai jalan, insurans dan bil minyak serta murah untuk diselenggara.

  • Apabila rakyat sihat, kerajaan juga dapat berjimat dari segi belanjawan kesihatan kerana rakyat yang sihat tidak perlu lagi berjumpa doktor serta dapat menjimatkan wang dan meningkatkan produktiviti.

  • Basikal tidak mencemar (dan juga lebih senyap), tidak seperti kereta, yang menghasilkan berjuta tan asap beracun dan merupakan punca utama pencemaran udara di Malaysia. Oleh itu berbasikal membantu mengekalkan udara yang lebih bersih bagi pernafasan, dan mengurangkan pencemaran bunyi.

  • Basikal menggunakan sedikit ruang di jalan raya, tidak seperti kereta, yang menelan berbilion ringgit wang orang awam untuk membina lebuh raya, jejambat dan tempat meletak kereta bertingkat. Oleh itu, berbasikal menjimatkan tenaga dan ruang, serta melindungi seseorang daripada kesan penggunaan automobil yang merosakkan kesihatan.

  • Kami mendapati bahawa kempen ini telah menjadi satu platform bagi rakyat daripada semua kumpulan etnik dan lapisan masyarakat untuk bergaul dan beramah mesra sebelum dan selepas berbasikal yang secara tidak langsung mewujudkan semangat muhibah serta semangat kesukanan untuk semua.

Berdasarkan kepada perkara di atas, kami bercadang untuk menganjurkan Kempen Berbasikal di pelbagai bandar, luar bandar dan kawasan perumahan di seluruh negara dalam usaha untuk mempopularkan basikal sebagai satu bentuk sukan rekreasi dan satu bentuk pengangkutan.

Banyak kebaikan yang dapat diperoleh daripada berbasikal yang bukan hanya untuk tubuh yang sihat sahaja tetapi juga dapat melindungi alam sekitar, menjimatkan minyak dan wang.

Apa yang kerajaan boleh lakukan:

  • Menyediakan lorong untuk basikal yang selamat di semua jalan raya dan lebuh raya baru.

  • Mengubah suai bebendul jalan untuk memudahkan laluan basikal dan pejalan kaki.

  • Mengadakan papan tanda basikal yang jelas pada laluan basikal.

  • Memperkenalkan reka bentuk jalan raya yang menggalakkan keselamatan dan persekitaran yang sempurna bagi berbasikal. Ini perlu dimasukkan langkah-langkah meredakan lalu lintas untuk mengurangkan kelajuan kereta.

  • Melindungi keselamatan penunggang basikal. Ini boleh dijalankan, misalnya, dengan mengehadkan penggunaan kenderaan bermotor di jalan raya pada waktu sibuk.

  • Menyediakan ruang meletak basikal yang selamat, mudah dan percuma bagi penunggang basikal.

  • Memperkenalkan program perkongsian basikal awam dengan membina tempat meletak basikal secara layan diri di kawasan bandar untuk kemudahan pelancong dan penduduk tempatan untuk bergerak di sekitar bandar dengan lebih cepat. Program perkongsian basikal telah berjalan dengan baik di Eropah, Amerika Syarikat dan terbaharu di HangZhou, China.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam Kempen Berbasikal ini dengan menggunakan basikal biasa, basikal lumba, dan basikal bukit.

Kempen ini juga adalah percuma dan setiap peserta akan menerima sehelai baju T.

Peserta Kempen Berbasikal juga diminta berada di tempat permulaan pada jam 7.00 pagi dengan membawa basikal sendiri.


SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS