Sindiket dadah guna aset TUDM: Nama besar dalam radar KDN
PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa siasatan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan aset tentera akan membongkar jenayah terancang yang lebih besar, termasuk membabitkan individu berprofil tinggi.
Menurutnya, walaupun operasi risikan bermula awal tahun ini, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan satu sindiket besar.
Dia menyifatkan kegiatan penyeludupan dadah itu amat menguntungkan, dengan sebahagian individu yang terbabit sudah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala sebahagian lagi masih bebas.
"Saya bagi jaminan bahawa siapa pun yang ke depan ini beberapa hari kita akan tangkap, dia takkan terlepas. Apa pun jawatan dia, apa pun kedudukan dia.
"Itu jaminan daripada taklimat awal yang saya diberikan, ada beberapa potensi nama-nama atau mereka yang kita fikir ada kedudukan dalam masyarakat, maka, kita ambil juga tindakan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/c0ec9c4d4c5f798fddc1c6c75341d461.jpg)
Tambahnya, siasatan awal setakat ini mengenal pasti penglibatan individu yang mempunyai akses serta hubungan dengan anggota dan operasi penerbangan tentera.
"Kita percaya ini permulaan membuka ruang kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan penyeludupan," katanya.
Saifuddin menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa.
Kiandee turut menyatakan betapa dia tidak menyangka kes seumpama sindiket raja dadah, Pablo Escobar dari Colombia itu berlaku dalam negara ini.
Terdahulu media melaporkan juruterbang TUDM yang ditahan berhubung kes berkenaan dikenal pasti berperanan mengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah menggunakan aset tentera.
Setakat ini seramai 13 individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam. Penahanan itu dibuat susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Dadah berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM. Kejadian itu merupakan kes pertama seumpamanya yang berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.
Saifuddin berkata rampasan itu membabitkan 96.64 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Menurutnya, walaupun ketua sindiket masih bebas, pihak berkuasa sudah mengenal pasti suspek utama dan yakin individu itu akan ditangkap dalam sedikit masa lagi.
"Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti penglibatan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu yang terlibat. Siapa pembiayanya, siapa perancangnya, siapa berperanan sebagai transporter, siapa yang jadi runner dan semuanya," katanya.
Dia turut mendedahkan bahawa risikan berterusan pihak berkuasa berjaya mengesan tujuh transaksi penyeludupan dadah di sel Tawau, membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
Bagi sel Labuan pula, sebanyak 14 transaksi dikesan sejak Ogos 2024, membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta sebelum kegiatan berkenaan berjaya dilumpuhkan.
Tidak percaya negara kita dlm keadaan begini. Saya salah pempimpin yg lega serta nak menang p/raya saja. Pempimpin askar pun perlu disoal mengenai tahap begini. Malu betul
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/45323423432423_970905.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.