Jalan di Sungai Ara & Bukit Gedung berlopak
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa kesal dengan sikap kerajaan Pulau Pinang kerana tidak mengambil tindakan membaiki jalan berlopak dan tidak rata di Sungai Ara dan Bukit Gedung di sini.
Walau pun masalah itu telah lama berlaku dan di hadapi oleh penduduk-penduduk di kedua-dua kawasan tersebut termasuk mereka yang menggunakan jalan ini ke tempat kerja tetapi hingga sekarang ia masih belum diberi perhatian oleh pihak berkenaan.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati keadaan jalan yang tidak rata dan berlopak di sini bukan saja menimbulkan berbagai kesulitan kepada penggunanya terutama ketika hujan malah boleh menjejaskan keselamatan jika tidak dibaiki segera.
Lokasi yang paling teruk mengalami kerosakan ialah berhampiran kem tentera Sungai Ara dan lampu isyarat Jalan Tengah ke Bukit Gedung. Setiap hari ribuan pengguna melalui kedua-dua jalan tersebut dan mereka terdedah kepada risiko keselamatan yang membimbangkan.
Para penunggang motosikal merupakan pengguna yang kerap mengalami situasi cemas ketika melalui jalan tersebut kerana permukaannya tidak rata dan berlopak.
Seorang penduduk Abdullah Sulaiman, 48 berkata, beliau telah beberapa kali hampir mengalami kemalangan kerana tayar motosikal yang ditungganginya terjatuh ke dalam lopak yang terdapat di atas jalan di sini.
Ia berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah ini sebelum kejadian yang tidak di ingini berlaku ke atas mereka yang menggunakan jalan tersebut.
Sehubungan itu CAP menggesa pihak yang bertanggungjawab di negeri ini turun padang menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut. CAP meminta supaya permukaan jalan-jalan yang terlibat diturap tar sepenuhnya bagi keselesaan para pengguna di kawasan ini.
SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

