Saranan letak SPR bawah Parlimen
Di dalam ruangan forum Utusan Malaysia pada 25 September lalu yang bertajuk 'Pengundi hantu: Tiba masa Abd.Rashid letak jawatan?', bakal pengundi dari Cheras, Kuala Lumpur menulis:
"Apakah sekarang beliau masih lagi orang bawahan sehingga beliau tidak mengarahkan kakitangannya membersihkan daftar pemilih daripada sebarang penipuan? Siapakah orang yang berada di atas beliau yang mengganggu tugas beliau sebagai pengerusi SPR? Maka daripada ulasan saya di atas, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya Datuk melepaskan jawatan kerana gagal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat."
Seperti yang kita tahu, SPR adalah di bawah Jabatan perdana Menteri. Maka dapat kita lihat di sini bahawa "orang yang berada di atas" pengerusi SPR tersebut adalah Perdana Menteri. Oleh itu, sudah semestinya segala tindak-tanduk beliau dan SPR dipengaruhi oleh perdana Menteri yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno. Oleh kerana itu, kita dapat lihat, apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir akan diakur oleh SPR, sepertimana kes pindaan Akta Pilihanraya dan kes pengundi import. Dalam masa yang sama, bantahan dan rungutan parti-parti pembangkang tidak dilayan dengan sewajarnya sepertimana bantahan daripada BN dan Umno.
Lihatlah Harakah terbitan 16-30 September 2002, di bawah artikel 'Isu berkaitan pilihanraya Pendang, Anak Bukit: SPR belum jawab memorandum PAS'. Selain itu, isu penyalahgunaan jentera kerajaan yang terang-terang menyalahi konsep demokrasi yang dibangkitkan oleh pembangkang, juga tidak mendapat layanan sewajarnya daripada SPR, terutamanya dalam merangka Akta Kesalahan Pilihanraya tempohari.
Mungkin kejadian 'double standard' ini berlaku kerana "The Big Boss" kepada SPR adalah Perdana menteri yang juga pengerusi BN dan presiden Umno. Dan segala tindak-tanduk SPR juga adalah dipengaruhi oleh ' The Big Boss ' ini.
Oleh itu, sudah seharusnya SPR diletakkan terus di bawah Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong sebagai sebuah Suruhanjaya Pilihanraya Diraja yang betul-betul bebas.
Ini dapat mengelakkan kredibiliti SPR daripada terus terhakis dengan segala tindakannya, terutama di akhir-akhir ini yang nampak memihak dan menyebelahi BN/Umno.
Jika kredibilitinya terus terhakis, SPR tidak akan dipercayai lagi untuk mengadakan satu pilihanraya yang adil, telus dan tidak memihak .

