Pemimpin Umno jangan cepat melatah
Apabila Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menulis kepada ahkbar Harakah mengenai isu samseng dengan menegur Datuk Nik Aziz Nik Mat serta media supaya tidak memperbesar-besarkan isu ini, beliau ditegur oleh Datuk Dasuki Ahmad, Setiausaha Politik Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kerana tidak memihak kepada kerajaan.
Beliau ditegur semata-mata kerana menasihatkan pihak media supaya tidak memperbesar-besarkan isu samseng sepertimana yang dikehendaki oleh Umno untuk menyerang PAS.
Dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2002, Astora Jabat juga menyerang Datuk Harussani kerana tidak "menyebelahi kerajaan". Apakah mufti wajib "menyebelahi kerajaan" walaupun tindakan kerajaan tidak betul, bukan menyebelahi kebenaran...?
Di sini jelas bagi Datuk Dasuki dan Astora, bahawa mufti adalah ulama yang tugasnya adalah hanya membenarkan apa saja tindakan kerajaan sebagai benar dan mengikut Islam. Mungkin Astora dan Datuk Dasuki tidak menerima kenyataan bahawa tindakan mereka adalah salah dan seterusnya tidak dapat menerima teguran dari seorang mufti.
Ini adalah satu lagi bukti bahawa Barisan Nasional (BN) dan Umno mahu rakyat mengatakan bahawa mereka adalah sentiasa benar, tanpa melakukan sebarang kesalahan/kesilapan (maksum), sementara pembangkang pula adalah sentiasa salah sehinggakan mereka yang ingin berada di tengah untuk mencari pendamaian, akan dituduh menyebelahi pembangkang.
Saya kagum dengan sikap Harakah yang menyiarkan surat Datuk Harussani walaupun ianya adalah akhbar parti untuk ahli PAS sahaja, bukan akhbar arus perdana untuk semua orang seperti Utusan Malaysia .
Walaupun surat Datuk Harussani yang disiarkan oleh Harakah itu mengatakan bahawa Datuk Nik Aziz adalah salah dalam isu samseng ini, tetapi akhbar itu tidak menyerang beliau, malah menghormati pandangan beliau dengan menyiarkan surat tersebut.

