Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Machang Bubok (SKMB) memohon kerjasama pihak kerajaan merealisasikan harapan penduduk kampung untuk mendapatkan padang sukan dan permainan untuk kegunaan sekolah yang kini berusia 101 tahun.

Untuk makluman, sekian lama kami terpaksa menggunakan laman sekolah yang amat terhad. Perkara ini menjadi semakin terdesak selepas bangunan tambahan (kelas) terpaksa dibina di atas laman sekolah tersebut.

Pihak sekolah selepas itu terpaksa menumpang padang balai polis berdekatan (balai polis Machang Bubok) untuk menjalankan kegiatan sukan.

Sekiranya terdapat acara sukan yang agak besar, pihak sekolah terpaksa menumpang di SK Bukit Teh yang jaraknya sekitar 7km dari SK Machang Bubok.

Untuk makluman, pihak PIBG telah mengutarakan isu ini sejak tahun 2007. Setelah menunggu hampir sekian lama akhirnya pihak sekolah di maklumkan bahawa padang permainan yang diimpikan telah diluluskan.

Tetapi setelah menunggu sekian lama, kelulusan hanya tinggal kelulusan. Sehingga kini kami masih tertunggu-tunggu padang yang dijanjikan.

Penduduk seolah-olah berasa dianak-tirikan dan disisih oleh kerajaan memerintah walaupun sekolah kami begitu hampir dengan bandar Bukit Mertajam yang jaraknya hanya kurang 8km.

Berbagai usaha telah dilakukan termasuklah menyiarkan keluhan penduduk di surat khabar sebanyak empat kali.

Aduan turut dikemukakan kepada Pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Daerah serta juga sehingga kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara jawapan yang diterima antaranya ialah masih dalam perhatian, telah dimaklumkan kepada pihak atasan dan masih menunggu peruntukan.

Aduan sama turut diadukan kepada wakil rakyat Steven Sim Chee Keong yang seterusnya mengajukan rungutan penduduk kepada Timbalan Menteri Pendidikan Mary Yap tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.


MOHAMAD PUZI AWANG yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Machang Bubok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS