Pemuda PAS kesal aktiviti Ikhwan diharamkan
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar keputusan Mahkamah di Mesir yang memutuskan mengharamkan "semua aktiviti-aktiviti" yang dijalankan oleh Ikhwan Muslimin.
Keputusan tersebut merangkumi kepada pertubuhan Ikhwan sendiri, NGO dan mana-mana organisasi yang dibentuk olehnya. Keputusan Mahkamah Mesir mematikan demokrasi di negara tersebut.
Dalam keadaan kerajaan kudeta melakukan jenayah paling kejam di abad dengan merampas kuasa dari Dr Mohammed Morsi, mahkamah Mesir turut mengikut telunjuk pemimpin kejam kudeta Abdul Fattah Al Sisi dengan menghukum Ikhwan.
Apakah tindakan ini melunaskan dendam berpanjangan Al Sisi terhadap Ikwan serta seluruh rakyat Mesir yang bersimpati dengannya?
DPPM merasa kesal kerana rejim Fattah tidak pernah menyesali tindakannya membunuh lebih 3,000 rakyat tidak bersenjata di seluruh Mesir beberapa bulan yang lalu.
Dalam keadaan demikian, ramai pemimpin Ikhwan ditangkap, dipenjara malah ada yang dibunuh.
Dr Morsi pula masih ditahan dan tidak dibenarkan bebas sehingga ke hari ini.
Apakah dosa paling besar Ikhwan terhadap rakyat Mesir sehingga mahu diharamkan? Keganasan apakah yang dilakukan sehingga semua aktiviti Ikhwan diharamkan?
Apakah dengan mengetengahkan dasar persaudaraan serta perpaduan Islam maka Ikhwan perlu dihukum sedemikian rupa?
Tindakan ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerajaan kudeta Mesir mengikut telunjuk Barat di samping akur dengan kehendak Israel.
Kerajaan rejim Mesir pada hari ini sama dengan diktator Hosni Mubarak yang memerintah Mesir 30 tahun lamanya. Wajarlah rejim pemerintahan Mesir dikutuk, dihina dan dicerca masyarakat antarabangsa atas sikap mereka.
DPPM mendesak kerajaan Malaysia serta negara-negara Islam OIC mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan kudeta Mesir.
DPPM juga mendesak agar kerajaan Mesir mengkaji balik keputusan tersebut dengan mengambil kira maslahat dan pandangan rakyat Mesir.
Hakikatnya rakyat Mesir lebih memerlukan Ikhwan di negaranya dan mahu terus bersama denagn pertubuhan yang menaungi lebih sejuta rakyat di negara tersebut.
DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB naib Ketua Pemuda PAS.

