Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran habuk besi dan bunyi bising yang dihadapi oleh 200 penduduk Kampung Padang Lalang dekat Nibong Tebal daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Masalah yang berpunca dari operasi sebuah kilang berhampiran kampung itu sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Akibatnya penduduk-penduduk yang terlibat mengalami gatal kulit, lelah dan batuk. Habuk besi dari kilang ini juga mengotori rumah mereka dan mencemarkan makanan yang dihidang.

Di samping pencemaran habuk besi penduduk-penduduk di kampung ini turut mengalami gangguan bunyi bising kerana pengusaha kilang itu menggunakan generator untuk mengayak bahan tersebut.

SAM kesal walau pun kejadian itu telah lama mengancam kehidupan penduduk-penduduk di sini namun tidak ada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berwajib.

Baru-baru ini sekumpulan penduduk yang terlibat telah mengadakan bantahan di hadapan kilang agar masalah pencemaran ini tidak berlarutan.

SAM percaya jika keadaan ini dibiarkan kesihatan penduduk terbabit terutama kanak-kanak akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

SAM turut menggesa pihak-pihak yang terlibat seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha kilang.

SAM mendapat tahu kilang tersebut beroperasi secara haram dan pernah dirobohkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun kegiatannya masih diteruskan hingga sekarang.

SAM menegaskan tindakan undang-undang perlu diambil jika kilang ini melanggar peraturan-peraturan yang termaktub bawah akta berkaitan.

SAM mencadangkan supaya penduduk-penduduk yang terjejas kesihatan atau mengalami kerugian akibat kesan pencemaran yang berlaku diberi pampasan bagi meringankan beban dan penderitaan hidup yang di alami selama ini.


SM MOHAMED IDRIS presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS