Gaji pembantu ahli majlis juga harus naik
Kami pembantu ahli majlis dan ketua kampung merasakan peranan dan tanggungjawab kami mungkin terlepas perhatian atau tidak dipandang, sedangkan peranan kami begitu mencabar dan berdepan dengan tekanan yang tinggi.
Antara peranan pembantu ahli majlis dan ketua kampung, kami perlu menjalankan program kerajaan negeri di kawasan kami, merancang program tahunan, membuat susulan setiap aduan sepanjang masa.
Bahkan, kami membuka kaunter aduan pada malam hari di pasar, malam terutamanya pada hari cuti dan berurusan hingga ke pejabat tanah.
Kami juga pihak pertama yang dicari oleh masyarakat di kawasan kami sekiranya berlaku masalah sebelum laporan disampaikan ke pihak berkuasa berkaitan.
Malangnya, sehingga hari ini pendapatan pembantu Ahli Majlis dan Ketua Kampung hanya mendapat gaji sebanyak RM1,500 dan RM800.
Kami juga, tidak diberikan kemudahan klinik panel, kemudahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kemudahan SOCSO, cuti sakit atau elaun kerja lebih masa.
Pendapatan RM1,500 hanya digunakan untuk perkhidmatan efisien di kawasan kami.
Kami perlu bekerja sepenuh masa dan tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang projek atau membekalkan barang kepada program dianjurkan pihak kerajaan.
Justeru itu, melihat pada kenaikan gaji ADUN dan EXCO kerajaan negeri kami merayu kepada menteri besar Selangor dan barisan exco untuk mempertimbangkan kebajikan kami atau berharap belas ihsan atas lebihan pendapatan kerajaan negeri untuk membantu kami.
Permintaan ini juga bukanlah satu desakan hanya memohon dipertimbangkan.

