new Saya sangat tertarik dengan berita yang disiarkan dalam malaysiakini semalam, terutama sekali cabaran yang dibuat oleh Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Tan Sri Abdullah Ahmad, agar mereka yang tidak berpuashati dengan akhbar yang ada, membuka akhbar sendiri.

Saya terpanggil untuk memaklumkan bahawa inilah yang dituntut oleh lain-lain pihak di negara ini, untuk memiliki akhbar sendiri setelah akhbar bebas tidak ada di negara ini.

Persoalan yang berbangkit adalah apakah kerajaan yang didokong oleh Tan Sri bersedia memberikan kebenaran kepada lain-lain pihak khasnya parti pembangkang menerbitkan akhbar harian mereka sendiri.

Usahkan mendapat akhbar harian, akhbar yang ada juga disekat, sepertimana yang berlaku kepada Harakah sendiri - dari dua kali seminggu sebelum tahun 2000, kepada hanya dua kali sebulan selepas tahun 2000.

Kalau Tan Sri berkata, ikutlah contoh yang dibuat oleh NST iaitu PAS buka syarikat sendiri dan pohon permit akhbar harian itu. Untuk pengetahuan Tan Sri, itulah yang kami buat.

Selepas Harakah dikongkong penerbitannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, kami melalui sebuah syarikat milik PAS memohon untuk menerbitkan akhbar harian.

Kami namakan akhbar itu Purnama . Tetapi sampai sekarang, usaha kami mendapat permit penerbitannya gagal. Usahkan mendapat kebenaran, surat permohonan kami juga tidak dijawab.

Untuk mengatakan permohonan itu tidak sampai, kami telah menyerahkan permohonan itu kepada Kementerian Dalam Negeri di depan lensa akhbar di negara ini dan juga media asing.

Tetapi, malang...hanya akhbar harian yang dimiliki oleh parti dalam Barisan Nasional sahaja yang layak untuk terbit di negara ini. Tak usah bercakaplah, mengapa tidak sebut MCA atau MIC.

Sudah menjadi rahsia umum, Utusan Malaysia , NST , Berita Harian milik Umno, The Star milik MCA dan beberapa akhbar Tamil milik MIC.