Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mula didengar di mahkamah minggu lalu (dan masih berlangsung).

Anehnya, kes yang ditunggu rakyat ini tidak mendapat liputan sewajarnya dari media tempatan. Stesen TV dan radio serta akhbar media perdana memencilkannya sebagai "non-event".

Akhbar-akhbar yang beroperasi di Jalan Riong menyiarkan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dengan hanya beberapa para, itu pun di muka surat paling dalam.

Utusan Malaysia

lebih daif kerana tidak berani menyiarkan walau sepatah pun berita perbicaraan Anwar.

Berita mengenai afidavit baru Anwar, penangguhan kes oleh Peguam Negara dan kritikan peguam terhadap cara Hakim Arifin Jaka mengendalikan kes itu, hampir-hampir tidak ditemui dalam akhbar tersebut.

Akibatnya pembaca tidak mendapat informasi mengenai latar belakang kes, hujah-hujah peguam atau kenyataan hakim. Pembaca dan pendengar dibutakan fakta.

Atas dasar apa media kita menganggap berita Anwar tidak penting sedangkan Peguam Negara, Abdul Gani Patail baru-baru ini mengklasifikasikan perbicaraan Anwar sebagai subjek kepentingan awam.

Media luar negara sentiasa menganggap berita Anwar penting sama ada atas alasan keadilan atau komersil. AFP, CNN, Harian Kompas dan Al-Jazeerah ialah contoh media yang jika berkesempatan akan memberi liputan secara 'mendalam' melalui laporan penuh serta temubual dengan peguam dan sebagainya.

Di dalam negara, Anwar tidak menjadi berita. Apakah yang dimaksudkan dengan berita dan apakah kriterianya bagi akhbar Malaysia? Apakah bagi akhbar-akhbar ini, hanya pemimpin kerajaan atau Umno saja yang layak menjadi subjek berita?

Jika perbicaraan yang pernah dianggap kes ketiga popularnya di dunia boleh digelapkan, apa jaminan bahawa berita-berita lain juga tidak deselewengkan?

Walaupun pemimpin-pemimpin BN diketahui memusuhi Anwar, apakah pengarang akhbar juga wajar secara melulu memilih untuk memusuhi beliau? Siapa yang menentukan polisi akhbar? Pengarang atau ahli politik?

Jika pengarang berkuasa menentukan berita seperti yang sepatutnya, kenapa Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Abdullah Ahmad melenting apabila dibangkitkan mengenai pemilikan parti politik terhadap akhbar dalam sebuah forum media bulan lepas?

Sebagai akhbar awam, media tidak wajar jadi alat propaganda. Utusan contohnya bukan seperti Harakah atau Al Haq yang dimiliki oleh parti politik. Harakah wajar menggelapkan berita mengenai Umno kerana ia lidah rasmi PAS.

Utusan

seharusnya tidak. Pengarangnya sepatutnya berpegang kepada prinsip kewartawanan, atau sekurang-kurangnya kepentingan berita, tanpa terjebak dalam percaturan politik kepartian.

Sekiranya pihak editorial Utusan tunduk kepada arahan politik, bererti ia tidak layak menggunakan slogan "Penyebar Fikiran Rakyat". Sebaiknya lebih layak dinobatkan sebagai "Penyebar Fikiran Umno" agar pembaca tidak terus dikelirukan.

Adalah menyedihkan, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan yang juga bekas ketua pengarang Utusan , Zainuddin Maidin menutup mata terhadap perkara ini apabila beliau mengkritik media barat yang bersikap berat sebelah dalam laporan mereka tentang perang Iraq.

Paling kurang, CNN dan BBC , yang dimiliki Barat tidak berlaku adil kepada rakyat Iraq; tetapi bandingkan dengan RTM atau Utusan yang tidak berlaku adil kepada rakyat sendiri!

Akhbar sepatutnya menjadi media informasi dan dokumentasi, bukan bahan ketawa. Akhbar perlu reformasi! Sehingga itu, Malaysia tidak aman!

ADS