Tiada rakyat waras mahu ISA kembali
Merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 10 Januari 2014.
Saya ingin tegaskan bahawa, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak relevan lagi, dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
ISA merupakan satu akta yang zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana menahan individu itu tanpa bicara sehingga 60 hari.
Sampai bila Malaysia perlu kembali berpatah balik sedangkan negara lain kian maju ke depan.
Negara dunia kelas pertama membuktikan kebebasan bersuara dapat menjamin titik perubahan kepada negara.
Sebagai negara yang membangun, sudah tiba masanya untuk kita pandang ke depan dan memberi ruang yang sama rata kepada rakyat untuk bersuara.
Tetapi, apa yang terjadi dalam negara ialah, negara kita takut akan bayang-bayang sendiri dan terlalu selesa dengan keadaan kini.
Saya juga ingin menyangkal kenyataan beliau yang mengatakan tidak pernah ada demonstrasi yang betul – betul aman, sedangkan dapat kita lihat contoh jelas bahawa Himpunan Kebangkitan Rakyat merupakan salah satu demonstrasi aman yang berjaya.
Perkara ini dapat membuktikan bahawa pihak PDRM, Ketua Polis Negara khususnya sebenarnya tidak punyai pendirian tegas dan lemah dalam corak pentadbiran.
Rakyat hari ini gusar dan khuatir dengan situasi jenayah dan keselamatan yang meruncing. Kepercayaan rakyat terhadap PDRM semakin hari semakin tipis akibat kepincangan, penyelewengan dan rasuah yang membarah di dalam pasukan Polis.
Rakyat dahagakan pasukan polis yang benar-benar cekap, amanah dan telus dan mampu berikan lindungan keselamatan kepada rakyat.
Tiada rakyat yang waras; hargai kebebasan dan kemerdekaannya mahukan akta drakonian seperti ISA atau tahanan tanpa bicara dikembalikan di Malaysia.
DR AFIF BAHARDIN ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Seberang Jaya.

