Pengurusan air di Terengganu dan Kelantan berjalan baik
Bagi mengelakkan kekeliruan dan salahfaham, berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia ketika menjawab pertanyaan para wartawan mengenai isu air di Kuala Lumpur.
Pengurusan air di Terengganu dan Kelantan telah dikorporatkan dan ia berjalan baik dengan pelaksanaannya begitu efisien dan memuaskan.
Walaupun terdapat di situ di sini sedikit sebanyak masalah yang timbul tetapi ia telah dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Hari demi hari ia terus berjalan dengan baik dan bertambah baik sehingga tidak perlu lagi ditimbulkan sebarang masalah.
Keadaan kini berada dalam suasana terbaik dan segala masalah semuanya diatasi dan berjalan lancar.
Walaupun kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu didiskriminasi dengan dikenakan tekanan oleh Kerajaan Pusat dengan mengenakan 2 peratus faedah dari pinjaman berbanding dengan negeri-negeri lain yang tidak dikenakan sebarang faedah tetapi pengurusan air di negeri Kelantan dan Terengganu yang dikorporatkan berjaya diuruskan dengan pengurusan yang terbaik.
Pengurusan bekalan air di dua negeri ini berjalan dengan memuaskan berbanding dengan negeri lain yang terus bermasalah.
Kita terus dapat membekalkan air yang cukup berbanding dengan negeri lain yang terus mengalami berbagai masalah walaupun kita ditekan dengan diskriminasi.
Sebagai salah satu negeri komponen dalam Sistem Federalisma dan berselarasan dengan semangat federalisma kita sanggup membantu negeri-negeri yang masih menghadapi pelbagai masalah pembekalan air.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Pemangku Presiden PAS dan Ketua Pembangkang di Parlimen

