Keadilan digesa aktifkan semula lamanweb
Mengikuti perkembangan Parti Keadilan dari rantau sangatlah menyedihkan. Tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi secara online . Berbanding parti-parti lain yang gigih bersuara melalui maya membuatkan pendukung reformasi seperti kami bingung mengenangkan apa sebenarnya yang bergolak didalam parti tersebut.
PAS bermegah dengan laman HarakahDaily yang kini berwajah baru, walaupun adakalanya maklumat yang disampaikan agak remeh (terutamanya ruangan surat pembaca!).
Tetapi bagaimana pula dengan Keadilan? Cuma lamanweb FreeAnwar sahaja yang masih aktif walaupun isinya terhad kepada petikan-petikan dari sumber yang lain, selain dari ulasan oleh Saudara Raja Petra.
Di sini pujian harus diberikan di atas usaha beliau yang senantiasa mengemaskini lamanweb tersebut, selain daripada menyiarkan ulasan beliau yang sungguh bernas.
Setidak-tidaknya, Keadilan patut menggunakan ruangan surat pembaca di lamanweb
Malaysiakini sebagai wadah untuk menyampaikan dasar parti sebagaimana yang dilakukan oleh Saudara Khoo Kay Peng yang mewakili Gerakan, John Chung sebagai wakil DAP dan Saudara Abdul Rahman Abdul Talib yang mewakili PAS.
Mereka inilah yang berdebat secara maya untuk memperjelaskan prinsip parti yang mereka dukungi. Selain ianya percuma (jika itu masalah yang dihadapi Keadilan), lamanweb malaysiakini juga mencapai "hits" yang tinggi setiap hari terutamanya bagi kami di Australia.
Membaca komen pengendali Black14 , amatlah menyedihkan mengenangkan nasib yang menimpa laman reformasi tersebut, ditambah pula dengan maklumat dari Umno-Reform tentang lamanweb Keadilan yang sedang dilelong!
Akhir sekali, dengan pergolakan politik yang tidak menentu, kami di rantau amatlah mengharapkan Keadilan kembali berpijak di bumi nyata dengan memulakan langkah pertama mereka dengan mengaktifkan semula lamanweb sebagai saluran maklumat parti.

