Secara peribadinya isu beberapa orang gadis Melayu dipeluk artis K-pop tidaklah terlalu mengejutkan saya. Adapun adegan berpeluk bercium seperti itu sudah sekian lama saya saksikan.

Semenjak saya masih kecil lagi walaupun zaman itu YouTube tidaklah begitu masyhur dan tidaklah mudah untuk mendapat liputan internet - sebab saya ni budak kampung sahaja.

Dengan hanya melalui televisyen kecil tanpa Astro pun saya sudah mampu menyaksikan adegan-adegan sebegitu.

Maka hati saya jadi pelik. Mengapa baru hari ini kelihatan masyarakat Malaysia terutama yang beragama Islam, berbangsa Melayu begitu marah sekali dengan anak gadis dan artis K-pop itu?

Seakan sebelum ini, tidak pernah langsung media Malaysia baik elektronik mahupun media cetak menayang dan memaparkan aksi seperti itu.

Seakan sebelum ini tiadalah artis kita yang beragama Islam, berbangsa Melayu berlakon dalam adegan berpeluk bercium malah tidur bersama di atas katil.

Seakan sebelum ini bapak-bapak dan ibu-ibu menteri di Malaysia ini tidak pernah bersentuhan bersalaman dengan ajnabi - orang yang halal dikahwini - walaupun dalam kalangan mereka sendiri sudah ada yang mengeluarkan fatwa bahawa harus hukumnya bersalaman dengan ajnabi jika tiada sebarang syahwat.

Eh, memang tak pernah ada ya sebelum ini?

Rasanya baru-baru ini, gempar bahawa ada artis perempuan, isteri orang yang sakan menari dan berpeluk dengan seorang artis lelaki yang juga suami orang dalam sebuah rancangan realiti TV yang bergegar-gegar popularnya.

Yang itu, lain ya dengan kes gadis Melayu dipeluk artis K-pop? Semut di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak. Bias!

Saya baru berkesempatan hidup di Malaysia selama 20 tahun. Itupun sudah boleh membuatkan saya sesak dada dan suku gila rasanya. Apatah lagi datuk, nenek, pakcik, makcik, abang dan kakak yang lebih berusia dari saya.

Cepat beri liputan

Di Malaysia ini, jika golongan atasan bangsawan, menteri dan artis terkenal melakukan suatu kesalahan samada yang melanggar undang-undang negara, atau melanggar norma masyarakat Malaysia, tidak akan ada liputan secara meluas terhadap kes-kes mereka.

Tetapi kalau golongan marhaen yang melakukan perkara-perkara yang sama, cepat sahaja media memberi liputan. Kegilaan apakah ini? Media dah kena sogok kah?

Media kita kini sedang sibuk kecoh tentang isu gadis Melayu dipeluk artis K-pop. Mulalah ramai yang menyalahkan ibu bapa gadis yang katanya tidak pandai mendidik anak mereka.

Menyalahkan golongan agamawan yang katanya duduk di Malaysia tetapi macam tunggul sahaja.

Mulalah menyalahkan artis K-pop hingga ada yang mengatakan ini adalah agenda Kristianisasi. Oh, yang selama ini artis kita (baca:Malaysia) beragama Islam berpeluk bercium, berdukung-dukung dalam filem itu, tidak salahlah ibu bapa mereka?

Tidak salahlah agamawan kita? Yang itu tidak pula dikatakan agenda Kristianisasi?

Hanya kerana yang melakukan perkara terkutuk itu golongan terkenal, golongan bangsawan, menteri, maka media tidak menjadikannya sebagai satu kesalahan. Bahkan menggalakkan lagi perkara sebegitu.

Buktinya muka hadapan surat khabar dan majalah dipenuhi gambar artis perempuan tidak menutup aurat, bajunya ketat dan sendat-sendat, pinggangnya dirangkul oleh seorang artis lelaki Melayu berkulit gelap, bertubuh tinggi yang dikatakan sejati.

Dalam filem dan rancangan realiti TV pula, semakin banyak adegan suami isteri bermesra-mesra, bersenang-lenang berpeluk di atas katil. Sedangkan mereka itu saling ajnabi , tetap hukumnya haram bersentuhan apatah lagi dalam keadaan mood yang kita sedia maklum penuh berahi itu!

Media dengan senang hatinya memaparkan menteri yang sibuk bersalaman sesama mereka dan golongan atasan dalam majlis membazir. Oh, yang itu tidak salah? Yang itu halal ya? Saya baru tahu.

Buat media dan pengkarya filem

Saya kira di Malaysia ini asas-asas agama telah diajar dari kecil. Adab-adab Melayu dan bangsa Malaysia sudah kita ketahui. Malaysia ini negara dan bangsanya penuh dengan adab dan susila suatu masa dulu. Maka jangan dicampur dengan mana-mana budaya yang negatif.

Sama ada ia datang dari barat, dari negara matahari terbit atau dari negara yang penduduknya mendakwa mereka itu mulia kerana para anbiya’ lahir di sana. Jika anda seorang yang beragama Islam, maka cipta dan terbitkan karya yang mengikut landasan Islam.

Rujuk golongan agama tentang garis panduan seni hiburan jika anda tidak tahu atau tidak pasti. Jangan dicipta filem atau drama yang melanggar syariat agama, berunsurkan negatif, gangsterisme, vandalisme, percintaan apatah yang berunsurkan seks!

Begitu juga dengan media Malaysia, baik media elektronik atau media cetak. Jangan ditayang-tayang gambar lelaki bersentuhan dengan wanita ajnabi dan sebaliknya, tidak menutup aurat dan melanggar syariat Islam.

Tidak lupa juga, saya mohon agar media Malaysia tidak berat sebelah dalam memberi liputan buat warga Malaysia. Di setiap institusi pasti ada baik dan buruknya. Usah dipamer yang baik semata mahu menutup yang buruk.

Itu namanya menjatuhkan maruah sendiri dengan berlaku tidak adil. Bergeraklah sebagai medium yang benar dan adil. Lapor dan berilah liputan terhadap kes kes yang penting dan perlu diketahui umum. Tanam dan galakkan segmen-segmen ilmu dalam siaran anda. Bukan asyik bergosip tentang artis di sana dan di sini.

"Integrity is telling myself the truth. And honesty is telling the truth to the other people." - Spencer Johnson.

Dan semoga kita yang menulis dan membaca ini tidaklah hanya duduk diam dan pandai memberi kritikan semata. Bergerak dan carilah jalan penyelesaian terhadap isu ini.

Jika media hari ini gagal menjalankan fungsinya, maka kita perlu memula dan menggerakkan media kita sendiri di masa hadapan yang telus dan benar. Sama-sama menebar kebenaran! Wallahu a’lam.


AINAA WAFIY QADIR pelajar matrikulasi UIA dan petugas sambilan NGO Teach For The Needs (TFTN).