Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siri penculikan bersenjata yang berlaku di Sabah terus menjejaskan kedaulatan undang-undang negeri ini. Terbaru adalah kejadian di Sandakan.

Ia sekali gus mencemarkan nama negara dan pasukan ESSCOM yang sepatutnya mengekang insiden tersebut.

Pengarah ESSCOM telah ditukar pada Julai tahun lalu. Kita harapkan ada kesan positif. Namun masih ada kes penculikan.

Tetapi jika kita hanya menyalahkan sahaja, ia tetap tak selesaikan masalah. Cara terbaik untuk kembalikan semula keamanan, keselamatan dan keyakinan rakyat adalah, pihak ESSCOM perlu mampu menyelamatkan mangsa tanpa membayar sesen pun wang tebusan dan dapat menumpaskan seluruh anggota penculik atau pengganas ini.

Jika ESSCOM tak boleh lalukan tugas mereka untuk lindungi Sabah, apa yang diperuntukan kerajaan sia-sia. Saya minta pengarah baru ESSCOM buktikan bahawa pasukannya boleh lindungi Sabah.

Saya merujuk kepada beberapa kes wang tebusan seperti kes penculikan pelancong China pada May 2014 di Singamata Adventures dan Reef Resort, di Semporna dan pembunuhan seorang anggota Marin Koperal Ab Rajah Jamuan serta penculikan seorang Lans Koperal, Zakiah Aliep yang diculik kumpulan bersenjata di sebuah resort di Pulau MabulJulai 2014 dan beberapa lagi insiden lagi dilaporkan sebelum penculikan di Sandakan.

Dalam beberapa kes yang dilaporkan, penculik minta wang tebusan sebelum bebaskan mangsa. Selepas wang tebusan dibayar, mangsa dibebaskan.

Jika perkara sebegini berterusan, kita seolah-olah cuma perlu sediakan wang tebusan sahaja. Jadi, ESSCOM perlu tunjukkan kebolehan mereka bukan hanya dengan menambah peralatan, mereka perlu tumpaskan seluruh rangkaian penculikan yang berlaku di Sabah.

Dengan insiden penculikan yang terus berlaku di Sabah ia memberi isyarat kepada rakyat Sabah seolah-olah tiada jaminan keselamatan untuk mereka.

Selepas pencerobohan Lahad Datu, kerajaan telah tubuhkan pasukan ESSCOM dengan peruntukan sebanyak hampir RM700 juta yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pantai timur Sabah.

Bagaimanapun, kumpulan penculik seperti tidak takutkan pasukan keselamatan. ESSCOM perlu lakukan sesuatu.

Saya bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz tahun lalu bahawa Sabah masih belum selamat merujuk kepada dua insiden penculikan yang berlaku merujuk kepada perintah berkurung  yang dikuatkuasakan.

Saya turut mempersoalkan keberkesanan operasi  penangkapan warga asing tanpa izin yang dilakukan ESSCOM dengan meminta pihak terbabit mengesahkan jumlah bilangan PATI yang telah dihantar pulang ke negara asal.

Setelah ESSCOM ditubuhkan kita ingin tahu berapa yang telah dihantar pulang, berapa yang telah di ambil tindakan.

Cadangan penyelesaian

Untuk memulihkan keselamatan dan keyakinan rakyat. ESSCOM perlu buktikan dengan menumpaskan seluruh rangkaian penculikan tanpa melibatkan wang tebusan.

Selain itu ialah dengan melantik sebuah badan bebas menilai keberkesanan ESSCOM demi menjamin keberkesanan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan.

Kita kena pastikan tidak wujud salah guna kuasa dalam ESSCOM hingga jejaskan prestasi mereka. Jangan hanya tambah pegawai sahaja tetapi apa yang rakyat mahu ialah kualiti tugas.

Kita juga minta ESSCOM dapatkan maklumbalas dari rakyat Sabah.

Jika kerajaan hanya tambah kelengkapan keselamatan dan anggota keselamatan tanpa memberi jaminan keselamatan kepada Sabah, wang rakyat yang digunakan hanya sia-sia, katanya.

Bagi mengawal kemasukan warga asing tanpa izin secara efektif, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan  secara telus melaksanakan proses pemberian dokumen yang sah kepada warga asing tanpa izin yang telah bekerja di Sabah.

Kerajaan boleh bagi masa untuk mereka buat dokumen sah untuk bekerja misalnya dalam tempoh tiga bulan dan bukannya menjalankan operasi menangkap semata-mata.

Pada masa yang sama kerajaan perlu mengeluarkan Kad Pengenalan Khas Sabah seperti yang pernah dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI mengenai pendatang asing Sabah.


JIMMY WONG ahli parlimen Kota Kinabalu dan pengerusi DAP Sabah.

Lihat Komen
ADS