Kenyataan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Tabung Haji, Shahruddin Abu Bakar, baru-baru ini bahawa kejadian pembelian dua bangunan dengan bayaran 62.87 peratus melebihi nilai sepatutnya dibuat sebelum lembaga itu diambil alih oleh pasukan pengurusan sekarang, adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai penjawat yang dipertanggungjawab untuk mengurus dan menjaga kepentingan pelabur, beliau seharusnya terus membuat laporan polis tentang perkara ini supaya pihak-pihak yang menyumbang kepada kerugian ini di bawa ke muka pengadilan.

Sepertimana YAB Perdana Menteri berjanji bahawa rasuah dan penyelewengan akan diambil tindakan, pihak Tabung Haji harus berusaha mendapatkan semula hak pelabur yang hilang itu dan menjadikannya sebagai suatu ingatan kepada pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan daripada sistem kawalseliaan yang lemah.

Kita harus ingat bahawa walaupun timbul desas-desus sebelum ini mengenai pembelian hartanah berkenaan oleh Tabung Haji dengan harga yang tidak manasabah, tetapi tiada sebarang tindakan dan siasatan yang dibuat.

Apakah jaminan bahawa tiada kejadian sedemikian dalam urusniaga semasa ini kerana Laporan Ketua Audit Negara untuk Badan Berkanun Persekutuan 2003 melaporkan kejadian-kejadian yang berlaku hampir 6 tahun dahulu.

Maka, sebagai kewajipan yang dituntut ke atas setiap orang, semua pihak harus bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Kejadian ini masih menimbulkan tandatanya ke atas semua pihak yang bertanggungjawabkan dengan pengurusan dan seliaan Tabung Haji dulu dan sekarang.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pahang (PAC).