BERSIH 4 dan pesan Dominic Toretto
Kedua-dua belah pihak masih dalam parlimen masih mencari kepentingan politik buat diri dan parti masing-masing.
Aku tak menolak gejala political interest yang dilakukan oleh semua parti politik dalam semua isu tetapi tidak adillah jika ia diraih daripada mereka yang ditimpa malang.
Semua ini seolah-olah isyarat yang awan hitam bakal tiba untuk menutupi langit Malaysia dan membawa kegelapan dalam kebejatan bangsa.
Ketika ekonomi makin merosot, kenaikan harga barang dipandang remeh oleh pemerintah, kita biasa dengar bagaimana para macai bersuara bagi pihak parti pemerintah kononnya kenaikan harga barang "bagus" supaya rakyat terus rajin bekerja.
Melawan kebodohan bukan kerja main-main tetapi menjadi misi Nabi Muhammad diutus ke dunia.
Dalam konteks Malaysia, bergerak daripada melawan kebodohan dan menuntut hak, sekonyong-konyong rakyat jelata khususnya anak muda bangkit menyatakan protes malam tahun baru susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Setiap kali memprotes tindakan rejim yang menindas ekonomi rakyat, seperti biasa nyanyian lagu 'guling-mengguling' akan dimainkan konon ada kumpulan-kumpulan akan menjatuhkan kerajaan.
Segala tindakan rejim pemerintah andai dipersoalkan oleh aktivis maka akan ditangkap dan disoal siasat tetapi jika dipersoalkan oleh media khususnya akhbar maka akhbar tersebut langsung digantung.
Inilah yang berlaku ke atas akhbar mingguan The Heat yang digantung permit penerbitannya kerana menerbitkan artikel tentang kemewahan hidup perdana menteri.
Bertitik tolak dari hasil usaha Fathi Aris Omar bekas editor Malaysiakini dan wartawan-wartawan muda akhirnya merintis jalan ke arah mobilisasi protes media.
Beberap minggu selepas Protes Pensil Merah 4 Januari, permit penerbitan The Heat dipulangkan semula.
Dari The Heat ke The Edge
Hanya setahun selepas insiden The Heat, The Edge pula menjadi mangsa seterusnya setelah melaporkan isu 1MDB di muka depan akhbarnya.
Ada pihak berpendapat, apa yang dilakukan Najib adalah sabotaj ekonomi kerana beliau sendiri 'menggagau' menjawab persoalan daripada mana datangnya dana RM2.6 bilion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Rejim sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup 'bangkai dinosaur' yang baunya sudah bertebar bukan sahaja di seluruh nusantara malah di setiap pelosok dunia.
Lalu akhbar digantung. Namun adinda perdana menteri sendiri, Nazir Razak, melalui komen-komen di Internet kelihatan membawa nada berbeza.
Jelas di sini keabsahan kuasa politik kepartian mula terhakis tidak kira dari puak mana.
Ketika BN sedang terpalit dengan skandal yang cukup memalukan dalam sejarah, tak perlu juga Pakatan Rakyat mendabik dada konon mereka lebih 'bagus'.
Kerana kita menyaksikan bagaimana ustaz muda Ekhsan Bukhari diusir ketika hadir di lobi Dewan Negeri Selangor ketika menuntut janji-janji manis Pakatan dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 untuk menaikkan gaji guru-guru KAFA.
Apabila terbit seruan #Bersih4 untuk ke jalan raya maka tidak pelik apabila muncul keluhan seperti ini:
"Bila nak turun jalan raya ingat rakyat. Bila berkuasa lupa rakyat. Bila rakyat tegur dituduh trojan horse .”
Tetapi lebih 30 jam bersama #Bersih4 juga bermaksud mendobrak pengaruh oligarki parti-parti politik.
Luahan si tawar hati
Hadirnya kita ke jalan raya adalah sebagai individu anarki dan bukan budak suruhan kepada mana-mana parti.
Kita turun dan bawa tuntutan sendiri dengan matlamat penghapusan segala eksploitasi ekonomi dan kebebasan demokrasi ke atas diri kita sendiri.
Kerana ketika mereka buat untung, hutang kita terpaksa tanggung dengan membayar GST.
Ketika mereka hidup mewah kita pula terpaksa bersusah-payah dan tertekan atas bermacam-macam kenaikan kos sara hidup.
Malah kita tujukan juga bantahan ini kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas kemarahan kita khususnya parti-parti pembangkang.
Kita turun #Bersih adalah untuk membantah semua masalah yang ditimpakan ke atas kita. Kita turun ke jalan raya untuk meruntun sebuah janji yang kita tidak akan berganjak untuk sebuah perubahan dan harapan.
"Bukan boleh tukar kerajaan pun dengan demo BERSIH. Bukan boleh tukar kerajaan pun dengan demo bersih. Tak gitu?
"Marah pada pemimpin tapi lawan dengan polis juga akhirnya. Kesudahannya pemimpin tidak berubah pun.”
Begitu antara luahan rakan-rakan yang sudah tawar hati. Tetapi yang pasti bukan polis yang kita hendak lawan.
Itu pandangan yang cukup salah biarpun ia sering terjadi dengan insiden yang tidak dijangka.
Pentas untuk mereka, jalan milik kita
Tetapi penjelasannya, rejim baru adalah pewaris rejim lama biarpun ia datang daripada parti berlainan.
Seorang peserta dalam protes Occupy Wall Street berkata, “presiden datang dan pergi tetapi tak ada apa yang akan berubah.”
Sesuatu kebangkitan itu sepatutnya bukan merubah rejim atau parti politik tetapi harus drastik ke arah perubahan sistem.
Rejim ditukar tetapi sistem masih berpihak kepada kelas feudal dan bukan kepada golongan marhaen.
Beratus-ratus kali rejim bertukar daripada Republican kepada Democrat, daripada Labour kepada Conservative apakah masalah sudah selesai?
Sebab itu #Bersih4 adalah pendirian kita, laluan kita, perjuangan kita sebagai marhaen anarki mahu terus hidup.
Bangun membersihkan pandangan, perjuangan dan prinsip kita yang sebenar agar tidak dicemari oleh tangan-tangan kotor para ahli politik kepartian.
Kita hadir untuk mengubah sistem untuk kehidupan kita sendiri, kita hadir untuk mempersetankan keabsahan politik kepartian.
Jalan raya adalah milik kita sebagai rakyat marhaen sebab pentas VVIP adalah milik ahli-ahli politik.
Kata Dominic Toretto dalam filem Fast & Furious 7 :
" Think about street, street always win ."
LEE SLIMSHADY seorang aktivis muda di ibu kota.

