Saya fikir tidak banyak yang boleh dilakukan oleh MP Pakatan Harapan yang kononnya ingin membuat suatu usul undi tidak percaya ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.
Segelintir pemimpin pembangkang kerap kali bercakaran mengenai isu-isu dalaman parti, dan isu TPPA ini nampaknya seakan sudah sampai ke garisan akhir untuk dilaksanakan di tanah air ini.
Ini hakikatnya untuk rakyat membuka mata, bahawa tiada lagi ikon seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatu amarah rakyat bagi menghentikan neokolonialisme TPPA yang melanda kini.
Tetapi, jika mahu diharapkan kepada Umno-BN atau PERKASA sekalipun, mereka sendiri masih tenggelam dalam gelora politik asabiah ekstrem sehingga hari ini.
Saya mengharapkan agar diwujudkan suatu platform, mungkin membabitkan Gabungan Mahasiswa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menggembleng rakyat ke Parlimen semasa TPPA ini dibentangkan nanti.
MAPIM dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) perlu tampil ke hadapan kerana TPPA turut akan menggoncang kepentingan perdagangan dan ekuiti berkaitan orang Islam di negara ini nanti.
Ambil contoh dalam industri beras kerana pesawah masih ramai dalam kalangan orang Islam. Kini, kerajaan pusat memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lambakan beras daripada Amerika Syarikat selepas TPPA nanti.
Kumpulan pro-TPPA turut berdalih harga beras tempatan yang lebih murah pada kadar RM3 hingga RM4 sekilo, berbanding harga runcit beras dari Amerika Syarikat tanpa duti import yang ditetap pada harga runcit RM9 hingga RM12 sekilogram.
Menurut pelobi pro-TPPA lagi, import beras dari Amerika Syarikat sendiri pada tahun 2013 keseluruhannya hanya 0.23 peratus di negara ini, dan berkurangan sehingga 0.05 peratus pada tahun 2014.
Semua angka itu adalah gambaran sebelum TPPA dilaksanakan, dan bukanlah gambaran sebenar jika perjanjian multiliteral itu dilaksanakan kelak.
Pertama, harga runcit beras sekarang adalah selepas subsidi. Jika lambakan beras dari luar berlaku dengan harga yang lebih rendah dan propengguna, masihkah kerajaan pusat mahu memberikan subsidi terhadap sektor padi?
Kedua, adalah lebih baik kerajaan pusat jangan membantu petani lagi atas dalih 'rasionalisasi subsidi'!
Sehingga kini, beras siam yang memasuki nagara ini lebih kompetitif dan konsumerisme kerana berpunca dari harga yang lebih murah dan kualiti lebih baik.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berharap NGO dan gabungan mahasiswa yang membantah TPPA perlu duduk semeja untuk membincangkan isu berkaitan kepentingan ekonomi Melayu dan Islam.
Perlu diwujudkan suatu kongres atau perhimpunan raksasa dengan mengajak semua pihak termasuk pemimpin parti politik untuk membantah TPPA ini.
MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)