Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya merujuk kepada kenyataan dari Tan Sri Arsyad Ayub, procanselor UiTM yang dilaporkan BERNAMA semalam.

Wira PERKASA kesal dengan kenyataan yang diusulkan beliau untuk memberi peluang kepada kaum bukan bumiputera bagi melanjutkan pengajian di UiTM pada peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PHD).

Umum mengetahui bahawa UiTM merupakan satu-satunya Universiti yang memberi peluang bagi melanjutkan pelajaran khususnya kepada kaum bumiputera.

Jadi mengapa perlu diganggu hak keistimewaan bumiputera di Universiti ini? Alasan persaingan sihat dan melahirkan para cendekiawan tidak cukup kukuh untuk cadangan ini.

Banyak lagi universiti awam untuk bukan bumiputera ada di Malaysia, mengapa perlu ganggu UiTM? UiTM satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang masih membela nasib bumiputera dan hari ini UiTM cuba diganggu gugat kedudukannya.

Saya ingin mengingatkan bahawa peratusan kek ekonomi bumiputera sudah tidak banyak yang tinggal. Golongan bijak pandai perlu membantu untuk memberi peluang kepada bakal graduan kaum bumiputera di UiTM dan meletakkan kedudukan ekonomi kita kembali kukuh.

UiTM dibina untuk membentuk dan melahirkan graduan dan cendekiawan dari golongan kaum bumiputera. Apa lagi alasan jika kita tidak mengutamakan bumiputera di Malaysia? Tolong lihat semula objektif penubuhan UiTM.

Salah satunya menyediakan peluang maksimum kepada kaum bumiputera bagi mengikuti pendidikan bertaraf profesional dalam bidang sains, industri, teknologi, perdagangan, seni dan kemasyarakatan.

Jika beliau masih merasakan kepentingan kaum bumiputera harus dipelihara maka dengan ini saya mencadangkan hasrat beliau bagi mengusulkan membuka pintu kepada kaum bukan bumiputera harus dilupakan.

Wira Perkasa mengecam sebarang cadangan seperti ini. Kepentingan ini harus dipertahankan bagi menjamin masa depan kaum bumiputera.

Jika kita tidak dapat memberi kebahagiaan sepenuhnya kepada semua maka janganlah kita sanggup mengorbankan sesuatu yang beharga hingga menjejaskan kedudukan kaum bumiputera di Malaysia.


IRWAN FAHMI IDERIS ketua Wira PERKASA.

Lihat Komen
ADS