Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat prihatin terhadap isu keselamatan dalam negara dan menyokong usaha terbaik pihak berwajib untuk menangani sebarang aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara.

ABIM melihat bahawa sebarang usaha yang dibuat perlu berlandaskan prinsip keadilan sejagat dan kedaulatan undang-undang serta menepati aspirasi demokrasi yang diamalkan dalam negara.

ABIM merujuk kepada Fasal 5 Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 yang meletakkan kuasa besar kepada majlis tersebut seperti berikut:

“Walau apa pun, mana-mana undang-undang bertulis yang lain, majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala benda yang perlu atau suai manfaat bagi atau yang berkaitan dengan pelaksanaan fungsinya”.

Selain itu, Fasal 6 Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 tersebut menyenaraikan keanggotaan dari pihak eksekutif yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan dibantu oleh timbalan perdana menteri serta beberapa menteri yang lain.

Ini secara jelas memberi kuasa yang terlalu besar kepada badan eksekutif dalam mengambil tindakan dalam aspek keselamatan tanpa melibatkan institusi lain seperti penggubal undang-undang dan kehakiman.

ABIM khuatir, menerusi kuasa yang luas yang diberikan kepada eksekutif ini tanpa pemantauan dari institusi yang bertanggungjawab khususnya institusi kehakiman termasuk institusi raja-raja akan mendedahkannya kepada penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya.

Sementara itu, ABIM berpandangan bahawa rang undang-undang yang ingin digubal ini bercanggah dengan pelan transformasi yang dijanjikan perdana menteri sebelum pilihan raya umum ke-13.

Kami ingin mengingatkan bahawa beliau menjanjikan transformasi sistem undang-undang dalam negara ke arah penekanan kepada aspek keadilan dengan memansuhkan Akta Hasutan 1946, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), serta perisytiharan dan Ordinan Darurat.


MOHAMAD RAIMI AB RAHIM presiden ABIM.

Lihat Komen
ADS