ULASAN Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong penuh tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menafikan permohonan visa atlet perahu layar Israel.

Keputusan ini membuatkan atlet ini membuat keputusan untuk menarik diri dari Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF) di Langkawi.

IKRAM mengucapkan tahniah terhadap tindakan YB Khairy yang jelas dilaksanakan berdasarkan polisi negara untuk tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

IKRAM juga menyambut baik tindakan pimpinan DAP Perak yang telah menarik balik kenyataan pimpinan mudanya yang membidas tindakan Menteri Belia dan Sukan itu.

IKRAM menyeru agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas yang sama terhadap mana-mana hubungan dagang Malaysia-Israel sekiranya ada.

IKRAM juga mengecam sebarang usaha memperbaiki hubungan Malaysia-Israel dalam apa bentuk sekali pun sama ada dari sudut politik, ekonomi, akademik, sukan, kebudayaan dan sebagainya.

IKRAM menyeru kepada setiap rakyat Malaysia untuk menyokong kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang kini sedang digerakkan di seluruh dunia.

Ini adalah usaha untuk memberi tekanan kepada Israel agar akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghentikan penjajahan, kepungan serta dasar aparteidnya ke atas rakyat Palestin.

IKRAM sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin dan menyeru semua pihak yang cintakan keadilan dan keamanan untuk turut sama menyokong perjuangan mereka.


HAFIDZI MOHD NOOR pengerusi Jawatankuasa Pembelaan Umat Sejagat Pertubuhan IKRAM Malaysia.