Serangan bom dan senjata api yang berlaku di Sarinah Mall, Jakarta semalam mengakibatkan tujuh orang terbunuh, dua daripadanya adalah orang awam manakala lima orang di kalangan suspek pengganas.

Sehubungan dengan itu AMK menzahirkan rasa sedih atas peristiwa hitam yang menggugat keamanan dan keharmonian di negara Indonesia.

Ancaman keganasan bukanlah omong kosong tetapi kenyataan yang harus dihadapi dengan strategi yang berkesan melalui pelbagai kaedah.

Cara yang paling utama adalah melalui pengajaran agama Islam dengan menegaskan bahawa tindakan keganasan itu adalah salah dan dimurkai oleh Allah.

Ekstremisme yang dieksport ini bukan sahaja telah sampai ke Eropah tetapi juga berjaya dibawa masuk ke rantau ini. Angkatan Muda Keadilan juga percaya pihak berkuasa Malaysia telah melakukan usaha mereka sebaik mungkin untuk menghalang berlakunya serangan keganasan di bumi bertuah ini.

Namun tindakan keras oleh pihak berkuasa melalui risikan dan kawalan semata-mata adalah tidak cukup dan hendaklah dibantu dengan pendekatan lembut melalui pendidikan dan penjelasan.

Justeru, para pendidik, guru dan tokoh masyarakat setempat berperanan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menolak keganasan.

AMK menyeru kepada semua pihak untuk mengukuhkan jaringan hubungan sesama masyarakat supaya tidak wujud elemen radikal dan ekstremisme yang boleh membawa kepada tindakan keganasan di negara ini.

AMK juga menyatakan solidariti bersama seluruh rakyat Indonesia yang sudah tentu terkejut dan marah dengan apa yang berlaku di Jakarta semalam.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka dalam menghadapi detik hitam ini dan mengukuhkan iltizam untuk melawan tindakan keganasan itu.


DR AFIF BAHARDIN timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan