Selangor hadapi masalah kesihatan, jenayah
Tahniah kepada penduduk di Selangor kerana ia bakal di nobatkan sebagai 'Negeri Maju' pada bulan Ogos nanti. Terasa bangga dengan berita tersebut walaupun saya tinggal di Negeri Sembilan kerana keluarga mertua dan ayah saya menetap di Selangor.
Lagipun saya dibesarkan di sana hampir lapan tahun sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan. Kebarangkalian untuk saya turun ke Selangor adalah tinggi, iaitu lebih kurang 2-3 kali sebulan. Sesekali turun ke Selangor, memang tidak dapat di nafikan betapa pesat pembangunannya sekarang.
Kawasan setingganpun hampir sifar dan rata-rata penduduk mampu mengecapi kesenangan hasil pembangunan sedia ada. Namun maju yang diperkatakan tidaklah sehebat mana apabila saya mendapati banyak lompang-lompang kecil dan mungkin di kira besar, yang pasti mencacatkan status Selangor itu sendiri.
Bila menjengah keluarga mertua di Selangor, saya sekeluarga seringkali bimbang untuk pulang kerana penyakit demam denggi yang semakin berleluasa. Tahun lalu sahaja beberapa saudara terdekat, termasuk adik ipar dan beberapa orang ipar-duai saya di Selangor terkena demam denggi.
Apabila pulang ke Selangor, anak saya perlu di awasi 24 jam kerana nyamuk di sana bukan setakat aktif di waktu malam, tetapi setiap ketika pasti ada yang berterbangan. Kelambu merupakan pakaian wajib bagi kami apabila malam menjelang. Walaupun kerja pembersihan dan gotong-royong kerap dilakukan oleh penduduk setempat tetapi keaktifan nyamuk aedes memang tidak dapat di kawal.
Data yang pernah dipaparkan oleh TV3 dalam Berita Perdana turut mempaparkan bahawa Selangor mencatat angka tertinggi kes demam denggi di Malaysia. Jika ramai rakyat Selangor mudah mengidap demam denggi sehingga ada yang membawa maut, bagaimana mungkin tenaga kerja yang produktif dapat dijana untuk menyakinkan Selangor sebagai Negeri Maju pada tahun 2005?
Sekiranya faktor kesihatan ini di ambil remeh dan di kebelakangkan, apakah rakyat dapat merasai nikmat kemajuan jika masih di belenggu dengan penyakit dan persekitaran yang tidak bersih? Adakah kes-kes ini boleh selesai sebelum Ogos 2005 nanti?
Merujuk kepada factor keselamatan pula, memang banyak jenayah yang berleluasa terutamanya di Selangor. Rancangan 999 yang dipaparkan di TV3, turut menunjukkan banyak kes jenayah berlaku di sekitar negeri itu. Walaupun saya sendiri ada mendapat tawaran pekerjaan di Selangor dan ditambah dengan desakan keluarga untuk berpindah ke sana, saya dan suami terpaksa berfikir banyak kali.
Indek jenayah yang tinggi menyebabkan kami takut untuk menetap di sana. Beberapa kawan saya yang bekerja di Selangor dan sekitar Kula Lumpur juga kebanyakannya menetap di Seremban yang menurut mereka, keadaan masih terkawal. Kadar kecurian, pecah rumah, kes rogol, dadah dan bermacam-macam lagi kes turut menjadi kebimbangan kami.
Sedikit sebanyak isu-isu jenayah ini mencacatkan Selangor sebagai sebuah Negeri Maju 2005. Lantaran itu, sewajarnya faktor kesihatan dan keselamatan ini dipandang penting oleh semua pihak, sama ada kerajaan ataupun bukan kerajaan untuk menghadapinya bersama-sama.
Sekiranya dua faktor ini dikesampingkan, lama-kelamaan faktor yang kecil ini akan membarah dan mana mungkin untuk menjana generasi yang sihat dan persekitaran yang selamat pada masa hadapan. Generasi yang sihat dan alam sekitar yang selamat diperlukan untuk membangunkan Selangor bagi menrealisasikan hasrat dan Wawasan 2020.
Justeru, semua rakyat Selangor, terutamanya kerajaan negeri, harus berfikir bagaimanakah dua faktor ini dapat diatasi seminima mungkin untuk mempastikan identiti dan status Negeri Selangor Maju 2005 yang bakal diumumkan kelak, tidak di pandang sinis dan hambar oleh sesetengah pihak.

