Mahasiswa perlu hadapi cabaran ekonomi - IKRAM Siswa
ULASAN IKRAM Siswa sedar dan prihatin dengan isu-isu yang melibatkan kos hidup mahasiswa di Malaysia masa ini. Bermulanya dengan pemotongan bajet IPT dalam Bajet 2016, isu-isu kebuluran mahasiswa dan yang terkini penggantungan pemberian biasiswa JPA.
Sebagai sebuah gerakan mahasiswa dalam gerakan-gerakan mahasiswa yang ada, IKRAM Siswa amat menghargai usaha rakan-rakan mahasiswa lain samada bergerak atas kapasiti kumpulan seperti KESATUAN, PKPIM, Gamis dan Pemuda Sosialis Malaysia atau individu seperti saudara Jufazli S.A dalam meneruskan perjuangan menuntut supaya pihak kerajaan mengkaji semula isu-isu kos sara hidup mahasiswa dengan lebih serius.
Dalam suasana ekonomi dan politik masa kini, IKRAM Siswa melihat bahawa adalah sukar untuk kita impikan pembaikan berlaku dalam kadar segera seperti yang dituntut. Khususnya, dengan penurunan harga minyak yang semakin merosot dan kehadiran TPPA yang semakin menambahkan kerisauan rakyat.
Justeru, IKRAM Siswa menyeru para mahasiswa untuk bersama-sama bersiap sedia menghadapi kemungkinan ekonomi yang teruk dalam tempoh masa yang terdekat ini. Dalam menyahut seruan ini, berikut adalah tindakan-tindakan yang wajar digerakkan mahasiswa secara bersama:
a) Menganjurkan kursus-kursus kemahiran pengurusan kewangan di kampus. IKRAM Siswa percaya bahawa kemahiran pengurusan kewangan adalah sesuatu yang perlu dipelajari oleh mahasiswa. Hubungan sedia ada antara IKRAM Siswa dan pakar-pakar pengurusan kewangan boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya demi kebajikan mahasiswa.
b) Membangun platform-platform yang boleh membina jiwa keusahawanan mahasiswa. IKRAM Siswa percaya bahawa dengan tertanamnya jiwa keusahawanan dalam mahasiswa, ianya akan serba sedikit membantu meringankan beban mahasiswa dalam menanggung kos pengajian, kos asrama/sewa rumah, kos makan minum dan kos pembelajaran.
c) Menyalurkan sebanyak mungkin maklumat-maklumat tentang bantuan kewangan yang sedia ada tetapi belum diketahui mahasiswa secara meluas. IKRAM Siswa percaya masih terdapat banyak bantuan kewangan yang ada samada dalam dan luar kampus yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
d) Menganjurkan program-program kesedaran tentang isu-isu ekonomi dan bagaimanakah cara untuk menanganinya. IKRAM Siswa percaya ilmu dan pengetahuan tentang ekonomi perlu digarap sebaiknya mahasiswa dalam menilai prestasi semasa negara dan dunia. Ilmu yang akan diperoleh mahasiswa itu juga akan membantu mahasiswa untuk membuat penilaian yang terbaik dalam PRU-14 nanti.
Dalam merealisasikan cadangan-cadangan ini, IKRAM Siswa bersedia untuk berkerjasama dengan rakan-rakan mahasiswa, NGO-NGO hatta pentadbiran universiti sekali pun dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terjamin selari dengan gagasan kampus harmoni yang mengimpikan kampus yang selamat, berkebajikan dan mesra mahasiswa.
Dalam masa yang sama, IKRAM Siswa mendoakan agar mahasiswa terus tabah dan cekal serta meletakkan pengharapan kepada Allah s.w.t dalam menghadapi segala kesulitan masa kini di samping terus memperjuangkan hak masing-masing dalam ruang lingkup demokrasi negara.
Marwan bin Abdullah ialah Presiden IKRAM Siswa

