Berdoa berbeza, aminkannya bersama-sama
Pada 21 Februari lepas, sebuah NGO berstatus faith-based youth-led , Komuniti Muslim Universal (KMU) menganjurkan kunjungan harmoni dan dialog perpaduan dengan inisiatif bersama Kairos Dialogue Network , sebuah pertubuhan Kristian Protestan di Bangsar.
Seramai 24 orang peserta terlibat yang rata-ratanya adalah berumur 20-an dan mempunyai latar pendidikan serta pekerjaan yang pelbagai.
Yang pasti, semuanya berjiwa besar untuk menghubung jambatan silaturahim bersama. Lawatan ini juga sebagai manifestasi kepada moto KMU sendiri iaitu Penyatuan dalam Kepelbagaian.
Kami merasa terpanggil akan tanggungjawab sebagai bangsa Malaysia dan bangsa Manusia untuk mengeratkan hubungan antara agama di negara ini dengan mencari peluang serta mengisi vakum yang amat signifikan ini, yang mana ramai telah abaikannya.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan peserta dengan kepercayaan agama berlainan, memberi peluang kepada peserta untuk dialog berkaitan pengalaman agama dan cabarannya di Malaysia, serta membina hubungan yang akrab atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan yang cintakan keamanan, perpaduan dan impikan kehidupan penuh harmoni bersama.
KMU sendiri mengambil semangat anjuran Quran dalam konteks dialog persaudaraan kali ini daripada firman-Nya:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Peserta sepakat dan mengakui bahawa setiap agama menyeru kepada kebaikan. Manusia tiada hak mutlak untuk menghukum antara satu dengan yang lain.
Ternyata Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan meraikan kepelbagaian tersebut dan bukan untuk membenci atau saling menindas.
Kami juga menyedari walaupun masyarakat pelbagai agama, kaum, etnik, budaya, bahasa, dan adat tinggal bersama di negara ini sejak sekian lamanya, persefahaman dan kesatuan sering dirobek dengan api sentimen oleh pihak tertentu yang berkepentingan atas nama kekuasaan politik dan agama.
Perkara ini tidak mendatangkan apa-apa pulangan positif, bahkan hanya akan mencetuskan ketegangan agama dalam negara majmuk ini.
Kami mengambil peluang ini untuk saling berkongsi dan mendapatkan penjelasan secara terus berkaitan salah faham, prejudis, stereotaip dan pelbagai elemen negatif lain berkenaan pengamalan agama masing-masing, yang tersebar secara sengaja mahupun tidak di ruang-ruang awam.
Kami dapat kenal pasti mentaliti buruk ini adalah natijah kurang toleransi, tidak mahu mendengar serta berbincang, dan kurang memahami serta menghormati kepercayaan orang lain.
Contohnya; ‘Muslim adalah penyokong ISIS’, ‘Kristian ancaman kepada Islam’, ‘Salib menjejaskan akidah umat’, ‘Quran promosi kebencian’ dan banyak lagi prasangka buruk berlegar tanpa penjelasan.
Kami akui ‘masalah’ ini wujud dalam komuniti masing-masing yang patut ditangani dengan hemah dan hikmah.
Banyak pencerahan berkaitan radikalisme, ekstremisme dalam konteks tempatan dan global dan diskusi teologi dengan kritis berjaya dicapai bersama.
Tidak lupa juga kami berdoa mengikut cara agama masing-masing demi keberkatan dan keamanan seluruhnya diakhiri dengan mengaminkannya bersama.
Kami juga menikmati juadah dan bermain beberapa ‘game’ bersama dengan penuh kemesraan yang membuktikan kami dan kita semua sebenarnya mempunyai persamaan yang jauh lebih banyak berbanding perbezaan yang sedikit.
Peserta yang terlibat telah membuktikan bahawa kami adalah rakyat Malaysia yang tidak mudah termakan dengan provokasi dan ancaman murahan seperti itu, untuk menggoyahkan hubungan antara Muslim-Kristian di negara ini sekali gus terus komited menghulurkan tali silaturahim bahkan mengukuhkannya dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat antara agama tertua dunia ini.
Kami juga menyeru ahli politik, jabatan agama, pertubuhan berasaskan agama, dan setiap individu sepatutnya sedar, majoriti rakyat mahukan negara yang lebih baik untuk semua, bukan dibezakan dengan agama atau kepercayaan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Demokrasi dan kebebasan beragama tidak harus terpilih dan ia patut dinikmati semua dalam sebuah negara merdeka ini.
Keunikan kepelbagaian dalam negara adalah aset berharga pertiwi yang patut dijaga oleh semua dengan menghindari elemen-elemen permusuhan daripada dalam dan luar.
Korbankanlah ego dan kepentingan peribadi demi nusa bangsa dan agama tercinta.
Kita natijahnya adalah sama dan yang menjadikan kita mulia adalah kebaikan dan kemanusiaan yang kudus dalam diri setiap insan.
Kita semua sepatutnya menjadi peacemaker bukan peacebreaker .
KMU amat bertuah dapat menganjurkan serta terlibat secara langsung dalam usaha murni ini dan mengharapkan lebih banyak aktiviti seumpama interfaith-dialogue ini dianjurkan bagi memperkukuh perpaduan antara agama.
Semoga usaha dan niat murni para penganjur kali ini menjadi pemangkin kepada saudara Muslim-Kristian khususnya, dan sahabat lain-lain agama umumnya untuk lebih proaktif dalam membina hubungan yang harmoni untuk masyarakat saling memahami, menghormati, bertolak-ansur dan egalitarian tanpa prejudis, diskriminasi dan penindasan.
Penulis tinggalkan tulisan laporan ini dengan kata-kata Michael Walzer:
“ Toleration makes difference possible, difference makes toleration necessary. ” (1997, On Toleration )
AHMAD SALAMI penganalisis kajian di KMUdan penuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

