Majlis tsunami jadi medan hentam Nik Aziz
Pada hujung bulan Januari lalu, kami dari Pemuda PAS Kota Bharu telah dipanggil untuk membuat laporan mengenai berapa banyak kutipan Tsunami. Malangnya, program tersebut telah menjadi medan oleh seorang pemimpin parti itu, untuk menghentam kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.
Banyak kelemahan kepimpinan Tok Guru didedahkan. Yang amat menyedihkan ialah pemimpin itu sendiri mendakwa bahawa kemenangan PAS Kelantan pada tahun 1990 adalah kerana daya usahanya.
Sebagai seorang ahli PAS Kota Bahru, kenyataan seumpama itu saya anggap telah melampaui batas tatasusila kepimpinan yang selama ini tidak dipraktik dalam PAS Kelantan. Mungkin di zaman Datuk Asri Muda dahulu, ada banyak jenis kepimpinan semacam ini wujud.
Tetapi kemungkinan besar jenis kepimpinan sebegini masih wujud lagi. Jika diamati, pemimpin yang bercakap itu sendiri, banyak membuat "kesilapan" dalam menyusun jentera piliharanraya umum PAS pada 1990.
Maksud saya, bukannya jentera yang disusun tetapi siapa yang menjadi calon adalah dipentingkan kerana mahu menjaga kroni-kroninya. Saya tidak hairan jika ada negeri-negeri membuat teguran mengenainya.
Berbalik kepada tindakan pemimpin tersebut menghentam Nik Aziz dalam perjumpaan tersebut, secara terus terang beliau mengatakan Tok Guru patut berundur dan melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan.
Dengan tidak segan silu, beliau juga mengatakan kepimpinan Tok Guru perlu diganti dengan pemimpim PAS yang lain yang turut disebut namanya, dalam majlis tersebut!

