Sebagai seorang ahli DAP, saya ambil berat isu berkaitan status FB pimpinan DAP Dr Ramasamy berhubung Dr Zakir Naik.

Dalam hal ini, pandangan parti adalah pandangan yang rasmi. Pandangan rasmi tersebut pula adalah bergantung keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat AJK Pusat.

Dalam masa yang sama, saya turut ambil maklum berkaitan pindaan status FB yang beliau lakukan dan juga kenyataan media permohonan maaf.

Jelas sekali tindakan ini memcerminkan keberanian, kebertanggung jawaban serta jiwa besar seorang pemimpin.

Berbanding UMNO dan BN, sukar sekali keberanian sebegini dapat dilihat sekalipun terpalit pelbagai skandal.

Tidak dinafikan, Dr Zakir Naik adalah nama besar dunia Islam dalam wacana perdebatan antara agama (Interfaith dialogue). Generasi seusia saya khususnya sememangnya membesar dengan melihat Dr Zakir Naik sebagai seorang tokoh khasnya selepas pemergian pendebat Islam terkenal Ahmad Deedat.

Secara peribadi, saya menyeru agar rakyat Malaysia keluar dari polemik sempit perbahasan berkaitan sosok Dr Zakir Naik dalam mengutarakan hujah-hujahnya di ruangan terbuka.

Hujah-hujah beliau yang diketengahkan secara ilmiah mestilah diperbahas dan diperdebatkan dalam ruangan wacana ilmiah juga. Jika tidak, kita akan mudah terperangkap dengan salah faham serta prejudis khususnya dalam konteks kepelbagaian rakyat di Malaysia.

Saya melihat, keengganan pihak berkuasa Malaysia sendiri dalam membenarkan Dr Zakir Naik menghadiri beberapa siri program ilmiah dan intelektual di beberapa negeri menimbulkan tanda tanya.

Sejauh manakah Malaysia membuka ruang diskusi secara matang dan ilmiah kepada tokoh-tokoh seperti Dr Zakir Naik dan sebagainya?

Sekiranya Dr Zakir Naik sememangnya membawa doktrinisasi ekstremis, ianya mestilah dikemukakan dengan hujah dan fakta yang kukuh.

Hal ini memperlihatkan kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran UMNO BN adalah problematik.

Contohnya, rakyat Malaysia tidak boleh melupakan sekatan-sekatan yang dikenakan keatas individu-individu tertentu dari memasuki Sarawak dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri kali ini.

Bagi pihak DAP, pimpinan utama seperti Lim Kit Siang sehinggalah orang kebiasaan seperti pencipta logo maskot 'Burung Kenyalang Ubah' turut menjadi mangsa undang-undang ala rimba kerajaan pimpinan Najib.

Dari satu sudut lain, kita dapat mengukur sejauhmana keikhlasan dan keazaman politik UMNO BN dalam meraikan kepelbagaian menerusi ruang-ruang kebebasan yang sewajarnya diamalkan dalam sebuah negara demokrasi.

Ini termasuklah kebebasan pendapat, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun dan kebebasan untuk akses kepada maklumat.

Saya konsisten dengan hujah bahawa UMNO khususnya akan sentiasa mengugut serta meracuni pemikiran rakyat dengan sentimen politik sempit perkauman setiap kali berhadapan krisis melibatkan survival politik mereka.

Akhirnya, saya menyeru agar seluruh rakyat tidak kira samada mereka Muslim, Hindu, Buddha atau apa agama dan bangsa sekalipun, kembali melihat isu sebenar melingkari rakyat. Penyalahgunaan dana awan, ketirisan mengurus hasil mahsul negara adalah isu kritikal yang sedang kita depani demi menyelamatkan Malaysia.

Kita tidak wajar menjadikan agama sebagai punca untuk memecah belahkan rakyat. Kerana saya amat yakin agama tidak mungkin sama sekali berfungsi untuk memasarkan permusuhan dan kebencian.

Akhirnya, saya memetik mutiara kata Mahatma Gandhi :

"Setiap kali rakyat India bersatu untuk menentang penjajah Inggeris, Inggeris akan menyembelih lembu dan melemparkan di laluan jalan orang-orang beragama Hindu dan Muslim agar mereka sibuk dan terleka dengan sengketa sesama mereka lantas terlupa akan kebejatan penjajah."

Dalam Quran juga ada menyebut :

"Aku (Allah) menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan bersuku-suku serta pelbagai bangsa tidak lain untuk saling mengenali."

Nabi Muhammad bersabda :

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyebarkan rahmah (kebaikan) keseluruh alam."


Penulis merupakan penolong setiausaha publisiti DAP Johor