Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) memberi sokongan penuh kepada tindakan dua aktivis, Adam Adli Abd Halim dan Mohd Fariz Abdul Talib di atas permohonan untuk mencabar kesahan Akta Perhimpunan Aman 2012, 15 April 2016 yang lepas.

Mahkamah Majistret telah menentapkan 21 Jun sebagai tarikh sebutan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua aktivis berkenaan yang mencabar beberapa isu iaitu sama ada Seksyen 4 (1) (c), 4 (2) (c), dan 4(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah bercanggah dengan Perkara 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

SUUR melihat bahawa tindakan seperti ini wajar disokong bagi mewujudkan semak dan seimbang di antara tiga cabang utama dalam doktrin pembahagian kuasa negara ini iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Proses seperti ini baik bagi mengelakkan kezaliman ( tyranny ), perlaksanaan undang-undang drakonian, dan perlanggaran hak asasi manusia. Ini adalah suatu tindakan yang sah dan baik di sisi undang-undang dan wajar disokong kerana proses pencabaran undang-undang sebenarnya dapat memberi kesan positif kepada demokrasi dan sistem dalam negara.

Tambahan pula, ia dapat memberi ruang kepada negara untuk memiliki suatu undang-undang yang ideal mengikut masa dan keadaan sekaligus membuang undang-undang yang lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

Justeru, apabila berlaku ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat, permohonan seperti ini akan memberi ruang kepada mahkamah menjalankan fungsinya dalam membuat tafsiran dan keputusan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi dalam negara.

Solidariti buat dua orang aktivis dan SUUR mengucapkan semoga berjaya!


KHAIRUL NAIM RAFIDI Pengasas dan Koordinator Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR).