Lama saya tidak berkesempatan untuk menonton filem. Ini kerana Kelantan memang tidak mempunyai panggung wayang. Pada dasarnya, saya amat memohon kelonggaran daripada kerajaan negeri untuk panggung wayang 'ada' di Kelantan.
Saya melihat filem adalah satu medium terbaik untuk menyampaikan propaganda kepada anak muda dan generasi akan datang.
Saya bersetuju tentang banyaknya keburukan, namun ia seharusnya dilihat dengan lebih terbuka sebagaimana terbukanya kerajaan Kelantan terhadap sukan tinju.
Terbaru filem Boboiboy menerima kutipan jutaan ringgit. Ini menunjukkan betapa kanak-kanak sangat hidup bersama filem. Anak saya sendiri hampir setiap hari menanyakan adakah saya sudah memuat turun filem itu?
Saya baru menonton The Hatefull Eight oleh Tarantino. Tarantino dianggap sebagai raja dalam industri perfileman. Sering menongkah arus dengan identiti sendiri. Sering filemnya banyak bercakap, muzik yang manis dan berperisa.
Saya juga baru selesai menonton Focus . Saya lebih menyarankan anda menonton filem ini. Filem penuh tipu daya yang berbelit-belit dan tiba-tiba saya jatuh cinta dengan Margot Robbie sebaris dengan pujaan saya sebelum ini Carrie Muligan.
Oh, saya mahu menceritakan tentang filem Mat Moto oleh Pekin. Baru berpeluang menonton. Filem Mat Moto oleh Pekin bagi saya penuh isi. Kalaulah saya menjadi juri, paling tidak filem ini akan saya berikan sesuatu untuk jalan ceritanya.
Sebagaimana cerita Budak Kelantan, filem ini ada makna yang tersendiri. Ia sangat jujur dan menyentuh kemanusiaan. Saya sudah mula tertawan apabila filem dimulakan dengan iringan lagu jaket biru oleh Wings.
Kemudian cerita itu dicantikkan lagi dengan kehadiran bekas hero Gila-Gila Remaja, Rempit dan KL Menjerit. Filem-filem ini menjadikan mat-mat moto 'marah'.
Sebagai orang Kelantan, Pekin juga amat kuat keKelantannya. Sempat di cuitnya tentang Mat Moto Kelantan menasihati P.A nya tentang adat dan budaya Kelantan ketika membantu Pekin menukar tayar motornya di Tok Bali.
Inilah yang saya maksudkan dengan propaganda dalam filem. Kita mampu menyelitkan kebaikan untuk diselami oleh mereka yang sedar. Sebenarnya ini dilakukan lama oleh Yahudi dan 'Orang Putih'.
Majid Majidi juga telah lama menanam perkara ini. Bagaimana beliau membikin Children Of Heaven dan akhirnya kepada Muhammad. Walau ia agak kontroversi, namun hanya itu yang kita mampu.
Orang kita masih berbalah, perlu atau tidak panggung wayang di Kelantan?
HAJI OSAMA Penyelaras SAMM Kelantan
