Kemalangan tren beri kesan pada keyakinan pengguna?
Pemuda AMANAH negeri Perak melahirkan rasa dukacita terhadap insiden kemalangan melibatkan dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Stesen Kuala Kubu Baharu kelmarin.
Kejadian tersebut mengakibatkan beberapa orang penumpang mengalami kecederaan.
Walaupun insiden sedemikian di luar jangkaan, namun kami beranggapan ia adalah kecuaian daripada pihak KTMB dalam memastikan operasi pengangkutan awam itu berjalan lancar.
Kami melihat kejadian ini adalah satu perkara yang serius kerana ia melibatkan keselamatan penumpang.
Pemuda AMANAH Perak difahamkan insiden tersebut adalah kejadian ketiga dalam tempoh dua bulan.
Sebelum ini berlaku di Behrang dan Kalumpang namun ia melibatkan gerabak membawa muatan barangan.
Kekerapan yang berlaku ini sangat berisiko dan menzahirkan rasa khuatir oleh pengguna.
Umum mengetahui KTMB kini menjadi pilihan utama rakyat selain daripada bas, sudah pasti insiden ini akan memberi kesan kepada tahap keyakinan pengguna.
Kami mengharapkan pihak bertanggungjawab termasuklah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertindak serius menjalan siasatan terhadap apa yang berlaku itu.
Kami sangat berpuas hati dengan perkembangan KTMB yang semakin baik perkhidmatannya dengan membangunkan kereta api lebih canggih termasuklah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), namun kami sangat mengharapkan agar insiden yang berpunca daripada kecuaian ini dapat dielakkan.
MOHD RASHIDI NASARUDDIN pengarah komunikasi, Pemuda Parti Amanah Negara negeri Perak.

