Lantikan Datuk Bandar hendaklah bebas politik
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir mahu dan berharap untuk melihat lebih banyak golongan profesional dilantik sebagai kaunselor dalam Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Beliau yang juga timbalan Datuk Bandar Miri mengulas mengenai pelantikan Datuk Bandar baru dan timbalannya yang akan tamat pada 30 Jun ini.
Kita bersetuju dengan cadangan tersebut termasuk lantikan Datuk Bandar dan timbalannya serta kaunselor patut dilantik dari kalangan profesional bukan dari kalangan ahli politik.
Ia perlu bebas dari pengaruh ahli politik dan dilantik dari berbagai etnik tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Pelantikan tersebut sudah pasti menimbulkan masalah apabila ada campur tangan ahli politik.
Baru-baru ini pun terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu jawatan itu diisi oleh PBB ekoran parti itu banyak membantu kemenangan SUPP di Miri dan BN dalam pilihan raya lalu.
Pelantikan ahli MBM sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi yang menjadi persoalannya apabila kerajaan negeri cenderung melantik mereka yang mewakili parti masing-masing.
Maka timbul permasalahan sama ada mereka yang dilantik itu mewakili parti ataupun mewakili penduduk setempat.
Perkara ini jelas membawa pelbagai masalah bahkan telah menyusahkan penduduk kawasan tersebut sekiranya mereka tidak menyokong parti yang diwakili oleh ahli majlis yang dilantik parti politik berkenaan.
Apabila ahli majlis yang dilantik mewakili parti masing-masing, ia bertentangan dengan syarat bahawa ahli majlis harus mewakili penduduk setempat agar masalah penduduk dapat disampaikan terus kepada kerajaan yang memerintah dan bukannya menjadikan MBM sebagai agenda politik masing-masing.
Sepatutnya mereka ini bebas dari mana-mana anggota parti politik sebab apabila waktu pilihan raya mereka akan menggunakan kuasa MBM untuk mempengaruhi pengundi untuk mengundi calon mereka dan parti politik yang mereka anggotai.
Kita mencadangkan agar golongan profesional yang dilantik terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan mana-mana ahli parti politik agar mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan bebas dari cengkaman ahli politik.
Lantikan Datuk Bandar dan ahli MBM perlu dilakukan lima tahun sekali dan mereka perlu menjalankan tugas mereka secara profesional dan tidak menyalah guna kuasa untuk agenda politik masing-masing.
Tugas mereka sama juga macam wakil rakyat.
Mereka seharusnya menjalankan tugas secara telus dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Harap pelantikan Datuk Bandar dan ahli MBM boleh dikaji semula untuk menjadikan bandar aya Miri lebih maju dengan cemerlang di masa akan datang.

