Lihat Amanat Pak Lah dari perspektif luas
Presiden Umno selaku Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Sidang Amanat Presiden baru-baru ini yang dihadiri kira-kira 2,000 ahli Umno, menyaran kepada orang Melayu supaya tidak membazirkan masa dengan kerja-kerja tidak produktif, tetapi sebaliknya memerlukan anjakan mentaliti yang lebih membina bagi memajukan diri, keluarga dan bangsa.
Di antara perkara tidak produktif yang diketengahkan oleh Pak Lah ialah bersembang kosong di merata tempat, di tempat kenduri, ketika menziarah jenazah mengata orang ini dan orang itu, melakukan politiking berlebihan, mengguna masa yang panjang menulis surat layang dan sebagainya. Malahan ada juga yang menghantar SMS mengata orang itu dan ini di Mekah.
Walau apapun, sekiranya pemerintahan Pak Lah menyifatkan kesemua ini sebagai sebahagian atau keseluruhan Agenda Melayu, maka ia menunjukkan Umno tidak melihat perkara ini dari segi yang lebih luas. Saya sendiri kurang faham mengapa masalah ini tidak dapat dilihat dalam skop yang lebih luas, yakni dipandang daripada skop yang lebih 'global', dengan tidak hanya tertakluk kepada sudut perkauman sahaja, tetapi turut dilihat sebagai sebahagian agenda rakyat, agenda pembangunan negara.
Tidak syak lagi, minda pemimpim Umno seringkali berkisar dengan fahaman perkauman Melayu. Sudah berkali-kali menyebut secara terbuka bahawa hanya Umno mempunyai legitimasi untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu, dan orang Melayu mestilah terus bergantung kepada Umno supaya kepentingan mereka tidak terjejas. Inilah apa yang seringkali diketengahkan oleh Umno, dan malangnya ia juga merupakan punca kepada polarisasi kaum di Malaysia dewasa ini.
Retorik-retorik Umno sebegini sebenarnya bersifat ekslusif. Saya tidak bersetuju dan tidak memahami apakah rasionalnya untuk sesuatu isu itu dilihat dari segi perkauman yang sempit, seperti apa yang dilakukan oleh sebahagian besar pemimpin Umno. Mungkin mereka mempunyai agenda mereka tersendiri, kerana dengan adanya Agenda Melayu, maka legitimasi mereka tidak akan tercabar dan mereka akan dapat memastikan mereka akan sentiasa memegang kuasa.
Apa yang perlu dilakukan, dan ianya jarang sekali didengari ialah mereka mengintepretasikan isu-isu ini dari segi yang lebih luas, yang bersifat inklusif dan bersifat 'Malaysia', dan bukannya 'Melayu' sahaja. Kalau telah disebutkan bahawa masyarakat Melayu masih jauh di belakang, maka segenap tampuk kepimpinan ini perlulah menganalisa apakah masalah yang sama turut berlaku di masyarakat India?
Bagaimana pula dengan pendidikan bahasa ibunda untuk saudara-saudari kita dari Sabah dan Sarawak? Mereka mungkin juga menghadapi masalah yang sama tetapi oleh kerana Agenda Melayulah, maka tumpunan atau keseriusan masalah mereka telah dipinggir atau dilupakan.
Dalam amanat yang diberi oleh Pak Lah itu, tertimbul pula istilah 'Towering Malays' atau pembentukan keperibadian unggul Melayu yang setanding dengan menara-menara hebat seperti Menara Kembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.
Dalam menerangkan maksud ini, Pak lah sendiri merumuskan bahawa orang Melayu perlu membina keperibadian unggul. Dan tujuannya adalah untuk memimpin kaum lain menuju ke arah kecemerlangan dan membina Malaysia yang lebih cerah masa depannya.
Sementara saya bersetuju dengan idea untuk memperkasakan masyarakat Melayu yang juga ada kebaikannya terhadap pembangunan negara, saya kurang faham apakah motifnya kenapa Pak Lah mesti menyebut bahawa orang Melayu mesti memimpin. Apa yang perlu ditegaskan bahawa dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini, kita tidak boleh mengenali kepimpinan kita melalui warna kulit, sebaliknya melalui kredibiliti dan keupayaan.
Seseorang warga India dan Cina boleh menerima seseorang Melayu untuk memimpin bukan kerana orang Melayu merupaka pemimpin negara ini secara automatik, tetapi kerana mereka (orang Melayu) mempunyai kepimpinannya tersendiri.
Dan dengan itu, kita perlu ingat kepada satu fakta iaitu negara kita ini tidak dipimpin oleh orang Melayu tetapi dipimpin oleh orang Malaysia. Oleh itu, masalah tentang siapa memimpin siapa langsung tidak harus timbul.

