‘Perbalahan’ YB Saari dan MB Azmin
Ada yang bertanya kepada saya berhubung tweet Datuk Seri Azmin Ali yang menempelak Saari Sungib tempoh hari.
Saya terkejut dengan apa yang terkandung dalam tweet tersebut. Saya terus membaca apa yang dikatakan Saari sepertimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini.
Apabila saya membacanya, saya dapati tiada apa-apa pula yang disebut berhubung keinginan menjadi exco.
Maka apa sebab dituduh "nak jadi pengemis untuk jawatan exco ke?”
Untuk memudahkan semua memahami isu yang telah dibangkitkan oleh Saari, saya senaraikan secara satu per satu supaya mudah difahami.
Apa yang dikatakan oleh Saari
Yang dilaporkan Malaysiakini adalah berdasarkan kata-kata Saari apabila menjawab soalan semasa program forum berhubung masa depan Pakatan Harapan di Selangor.
Maka dalam jawapan Saari ada tiga perkara utama yang disampaikan:
1) MB perlu jelaskan sekiranya benar bahawa hujah ‘politik istana’ digunakan untuk mengekalkan PAS dalam kerajaan Selangor. Ini adalah kerana persepsi sedemikian wujud di kalang masyarakat umum yang tertanya-tanya mengenai kedudukan PAS yang terus bersama di dalam kerajaan negeri Selangor.
2) Mengikut Saari, persepsi ini perlu ditangani kerana hujah ‘politik istana’ ada bahayanya.
3) Sekiranya persoalan kerajaan Selangor dikatakan semestinya dibentuk dengan majoriti anggotanya berbangsa Melayu, maka MB boleh memberitahu istana bahawa 8 dari 11 exco negeri adalah berbangsa Melayu. 11 adalah jumlah keseluruhannya termasuk jawatan MB.
Berdasarkan apa yang dijelaskan di atas, iaitu tiga point utama Saari, saya merasa hairan mengapa respon yang sebegitu marah dan ‘below the belt’ perlu ‘ditweet’ melalui akaun twitter Azmin.
Apa yang dikhuatiri ialah kata-kata Saari disalah-anggap sebagai satu ‘serangan’ terhadap MB sedangkan ia hanya seruan memohon diberi penjelasan sambil pengutaraan pandangan dan cadangan oleh Saari.
Perlu juga diambil kira bahawa ia berlaku di dalam suasana forum di mana pandangan dan perbincangan terbuka sedang diadakan. Adakalanya soalan-soalan dalam suasana terbuka sebegitu rupa sememangnya sukar ditangani dan mungkin juga dispin oleh media.
Saya syorkan mereka berdua bertemu dan menjernihkan keadaan. Sambil itu perlu dimulakan satu displin baru di mana sebelum respon, segala isu diperjelaskan terlebih dahulu maksud dan tujuannya.
Amalan ‘shooting from the hip’ di kalangan pimpinan parti-parti rakan Pakatan Harapan perlu dihentikan. Kalau ingin bertelagah sekali pun, buatlah secara tertutup.
Jawatan exco Selangor
Saya melihat persoalan jawatan exco kerajaan Negeri Selangor hanya ditimbulkan Saari apabila disebut “8 dari 11 adalah berbangsa Melayu”.
Mungkin di sini dibuat andaian bahawa sekiranya PAS meninggalkan kerajaan Selangor maka 3 jawatan exco akan dikosongan dan dengan itu Saari ‘sudah mengintai’ jawatan tersebut sekiranya terus kekal 8 yang berbangsa Melayu.
Saya rasa andaian tersebut tidak berasas dan merupakan sangkaan buruk semata-mata.
Ia tidak berasas kerana tiada di mana-mana Saari membayangkan minatnya untuk jawatan tersebut.
Saari dikenali umum sebagai seorang yang berintegriti tinggi serta telah banyak berkorban demi mencapai cita-cita murni politik Islam. Sekiranya jawatan adalah tujuan dan matlamatnya, sudah lama beliau memilih jalan lain.
Lagipun persoalan mengekalkan jumlah seramai 8 orang exco berbangsa Melayu boleh dicapai tanpa melantik Saari. MB masih mempunyai pilihan untuk samada:
1) Mengekalkan exco PAS yang sediada walaupun PAS keluar dari kerajaan negeri atas kapasiti peribadi mereka. Ini boleh dijustifikasi atas prestasi mereka dan sebagainya.
Sekiranya mereka selepas itu dipecat PAS kerana terus kekal sebagai exco setelah diarah keluar, maka itu keputusan PAS dan tiada kena mengena dengan persoalan pilihan MB. Begitu juga sekiranya mereka memilih untuk menolak tawaran MB untuk terus kekal atas kapasiti peribadi mereka dan akur dengan arahan PAS.
2) Mengekalkan hanya 8 ahli Exco dengan 5 dari PKR dan 3 dari DAP setelah 3 Exco PAS letak jawatan.
Dulu semasa krisis MB Selangor berlaku pada zaman Tan Sri Khalid Ibrahim beliau telah memecat semua exco kecuali 4 dari PAS. Diberitahu pada semua bahawa 4 exco adalah jumlah minima yang diperlukan bersama seorang MB untuk membentuk kerajaan. Oleh kerana 8 adalah lebih dari 5 maka keperluan tersebut dipenuhi dan pilihan kedua ini masih boleh dipertimbangkan Azmin.
3) Melantik 3 lagi Exco Melayu kesemuanya dari PKR. Pilihan ini turut merupakan pilihan yang boleh dipertimbangkan kerana masih ada ADUN PKR yang tidak merupakan Exco pada ketika ini termasuk bekas Exco seperti YB Rodziah dan YB Yaakop.
Oleh yang demikian untuk mendakwa YB Saari mengemis jawatan Exco adalah tidak wajar.
Pada pendapat saya ianya ‘completely uncalled for’ dan saya harap yang bersangka buruk sedemikian rupa akan bersihkanlah hati masing-masing. Bukan semua seruan dan cadangan dipaksikan niat jahat.
Biarlah kita lebih bersikap terbuka, bersangka baik dan menerima pandangan tanpa prejudis atau buruk sangka.
Saya harap isu ini tamat di sini dan semua yang terlibat saling bermaafan khususnya dalam bulan baik dan penuh kemaafan ini.

