Cita-cita Mahathir bakal terkubur
Parti baharu yang akan ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad tidak akan bertahan lama dan akan tenggelam akhirnya kerana tiada sambutan.
Yang menubuhkan parti ini adalah anggota-anggota Umno yang kecewa dan niat mereka hanyalah untuk membalas dendam.
Jelasnya, biarpun ramai beranggapan penyokong Mahathir ramai, itu tanggapan yang belum pasti.
Sebenarnya, tanggapan orang sahaja yang mengatakan penyokong Mahathir ramai dan mampu menggugat kerajaan dan pemimpin BN.
Hakikatnya, rakyat semakin menjauhi Mahathir itu kerana tidak sanggup lagi melayan karenahnya yang tidak putus-putus memburukkan orang.
Jika dirujuk pada awal pertikaian Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, dia mendakwa hanya mahu menjatuhkan beliau daripada kerusi presiden Umno dan seterusnya jawatan perdana menteri sahaja.
Sekiranya ditinjau pula ‘auta’ mereka di depan anggota dan penyokong Umno, mereka masih menyatakan konon mahu menggulingkan perdana menteri sahaja daripada kedudukan beliau dan mereka bukan mahu menjejaskan Umno atau BN.
Namun kini, segalanya jelas bahawa setelah gagal menjatuhkan Najib dari dalam parti, mereka mahu menubuhkan sebuah parti baru.
Apa maksud menubuhkan parti baru? Parti baru itu bertujuan untuk menjatuhkan beliau atau Umno/BN?
Adalah jelas kini Mahathir dan konco-konconya berhajat sangat untuk menjatuhkan Umno dan BN.
Tindakan itu ada sama tujuannya dengan pihak pembangkang yang selama ini berpuluh tahun cuba menjatuhkan parti kerajaan itu.
Jadi, Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan konco-konco mereka tidak lagi mahu jatuhkan presiden Umno.
Malah mereka sebenarnya mahu jatuhkan Umno dan BN daripada terus menjadi parti memerintah di negara kita.
Jelas dan nyata sekali agenda mereka, bukan?
Apa yang dilakukan Mahathir, Mukhriz, Muhyiddin dan konco-konconya itu adalah hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh Mat Sabu (Mohamad Sabu), Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan sekutu-sekutunya.
Padanlah Parti Amanah Negara (AMANAH) ‘ngam’ sangat dengan mereka, bukan?

