Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menasihatkan komponen BN jangan tertipu dengan kenyataan bantahan daripada Umno tentang syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam media ketika ini.

Komponen BN yang lain harus menerima hakikat bahawa syor persempadanan semula kawasan pilihan raya ini jelas ‘membunuh’ komponen BN yang lain dan sebenarnya telah menguntungkan Umno berikutan penambahan beberapa kerusi ‘menang’ melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Cara dan kaedah yang disusun sebenarnya menyusun lokaliti dalam daerah mengundi dan membuat blok-blok berdasarkan kaum serta melihat berdasarkan corak kemenangan atau kekalahan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dahulu dengan memastikan majoriti DUN pada PRU14 nanti.

Bagi Pemuda AMANAH Perak, kerusi Komponen BN yang ditandingi oleh MCA, MIC, GERAKAN dan PPP terkesan berikutan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya ini dan dengan kata lain bahawa mereka semua bakal menerima kekalahan pada PRU14 akan datang ini.

Justeru itu, semua Komponen BN yang lain wajar membuat bantahan rasmi dan bukannya menggunakan media semata-mata dengan perlu menggerakkan pemilih yang berdaftar agar membuat bantah supaya syor persempadanan semula kawasan pilihanraya itu ditolak sama sekali.

Bahkan bagi membuktikan adakah benar bahawa Umno hanya ‘berlakon’ dalam membantah syor persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, SPR wajar mengumumkan keputusan bantahan yang diterima pada 15 Oktober 2016 ini dan adakah Umno turut ‘membantah’?


SAFARIZAL SALEH setiausaha, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak.

Lihat Komen
ADS