Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Ketentuan masa depan sesuatu bangsa, kelangsungan pembinaan tamadun tinggi, tentu banyak dicorakkan oleh idealisme bangsa dalam mentafsir hala tuju perjuangan dan komitmen terhadap citra bangsa.

Bagaimanapun idealisme bangsa bukan satu unsur tenaga yang kuat dalam menggerakkan dinamisme penjanaan kekuatan tindakan.

Apa yang penting adalah keupayaan membina kerangka yang kukuh dalam menggembleng segenap potensi, moral dan intelektual bagi mencetuskan kemantapan aspirasi bangsa bagi memperkukuh jati diri dalam hubungan interaksi dengan faktor-faktor dinamik persekitaran.

Idealisme bangsa hakikatnya bukan sesuatu yang bersifat mutlak untuk mengikat komitmen dalam mentakrif dinamisme perjuangan bangsa.

Persepsi dan pandangan politik dalam kalangan elit politik berkuasa, memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana idealisme bangsa yang diperjuangkan dalam konteks kebangkitan bangsa merdeka, terus diperkukuh dan ditegak selaras dengan arus perkembangan sosial dan pembangunan ekonomi.

Dasar dan tingkah laku politik serta kecenderungan dalam proses pembuatan keputusan, menjadi petunjuk kepada aras kepekaan pihak berkuasa, khususnya dalam kalangan elit politik dalam mempertahankan idealisme bangsa, juga usaha tindakan dalam mempertahankan serta memperkasa wibawa dan integriti bangsa.

Persoalan moral politik merupakan intipati asas dalam memperkukuh idealisme bangsa.

Moral politik menjadi penentu kepada komitmen dan keterikatan dalam mengangkat idealisme Melayu kepada martabat ketelusan tertinggi, bukan sahaja dalam konteks mempertahankan maruah bangsa, sebaliknya dalam konteks keupayaan pengurusan dan pentadbiran isu-isu negara.

Dalam konteks pembangunan kerangka idealisme bangsa Melayu, khususnya pasca Dasar Ekonomi Baru, rujukan utama haruslah bersumberkan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Perlembagaan negara seharusnya dilihat sebagai jaminan pengiktirafan untuk hidup bersama dalam negara yang dikongsi secara bersama, berasaskan latar belakang sosio budaya yang berbeza.

Perlembagaan negara sewajarnya dijadikan teras dan tonggak dalam pentafsiran idealisme bangsa, seharusnya dijadikan kerangka penentu dalam penciptaan dasar-dasar sosio ekonomi dan hala tuju pembangunan negara.

Ini bermakna rekabentuk kepada kepada dimensi tingkah laku politik dalam konteks penjanaan idealisme bangsa, secara wajarnya perlu mengambil kira secara mutlak semangat yang terkandung dalam setiap peruntukan perlembagaan negara.

Segala bentuk keputusan politik dan amalan politik haruslah berteraskan peruntukan yang tertera dalam perlembagaan negara.

Pemungkiran terhadap kandungan serta peruntukan perlembagaan negara, menyebabkan wujudnya kesenjangan terhadap idealisme bangsa Melayu.

Kepimpinan politik Melayu, harus mengambil kira akan peranan mereka bagi membina idealisme politik bangsa Melayu dalam kerangka saling beruntung bersama dengan komuniti lain yang berkongsi kepentingan dan merupakan sebahagian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam membangunkan negara Malaysia.

Apa pun situasinya, Perlembagaan Malaysia telah mengiktiraf akan kehadiran komuniti-komuniti bukan Melayu dan bukan Bumiputera dalam kerangka geopolitik Malaysia.

Dalam hal ini, para pemimpin politik Melayu seharusnya berkeupayaan membina kerangka politik dengan mengambil kira kelangsungan jangka panjang wibawa serta maruah bangsa Melayu dan pengukuhan Islam dalam konteks pemikiran, ideologi dan falsafah kenegaraan.

Apa yang lebih penting, pertembungan ideologi seharusnya dilihat dalam kerangka praktis demokrasi, di samping pada masa yang sama dijadikan asas kepada pembangunan nilai moral tertinggi, berteraskan penerimaan terhadap perbezaan sudut pandangan.

Ini bererti wacana pemikiran haruslah mampu untuk melihat kelainan pandangan sebagai satu kekuatan untuk melonjak budaya berlandaskan prinsip kekuatan nilai diri.

Dengan perkataan lain, perbezaan pemikiran dan ideologi tidak seharusnya dijadikan faktor pemecah dalam kesatuan bangsa, sebaliknya satu hakikat yang perlu diterima dalam konteks persaingan intelektual, memperkukuh autoriti moral serta lonjakan keyakinan, khususnya dalam konteks membentuk kesatuan idea untuk merangsang pembangunan negara.


DR KAMARUDIN MUSA pensyarah pengurusan strategik kualiti di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Lihat Komen
ADS