Apakah wajar KWSP melabur di luar negara?
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah kumpulan wang simpanan wang pencen yang terbesar di rantau ini. Dan ia juga merupakan salah satu tabung wang pencen paling rendah prestasi dan terdapat banyak unsur-unsur kolusi dan korupsi yang menjejas prestasi KWSP sejak beberapa tahun yang lalu.
Penglibatan ahli panel KWSP dalam skandal pembelian bon-bon Islam yang di keluarkan oleh Malakoff adalah satu contoh jelas tentang kolusi KWSP dan pengurusan Malakoff yang banyak menjual bon Intisna kepada KWSP.
Ahli panel pelaburan KWSP termasuk mereka yang berperanan sebagai ahli lembaga eksekutif CIMB Bhd dan anak syarikatnya. CIMB telah menjadi 'underwriter' bon instisna Malakoff yang dan ini adalah satu konflik kepentingan yang jelas.
Dalam iklim pelaburan dalam negara, KWSP sudahpun melakukan perkara yang berunsur kolusi dan tidak boleh di soalsiasat oleh Dewan Rakyat atau pencarumnya.
Jadi, apakah KWSP akan lebih bertanggungjawab apabila dilepas melabur di luar negara ? Apakah KWSP telah mencapai profesionalisme pelaburan yang tinggi? Kekuatan satu institusi pelaburan bukan sahaja bergantung kepada kekuatan sumber dana pelaburannya sahaja, malah ia juga bergantung kepada profesionalisme pengurus dananya.
Amat mustahak, pengurus dana yang profesional itu bukan satu lantikan politik dan apatah lagi jika tidak ada pengalaman dan pendedahan kepada pasaran kewangan antarabangsa dan telah mencapai satu tahap profesionalisme yang unggul.
Dalam KWSP, pencarum dan ahli KWSP tidak diberi pilihan melainkan menyerahkan wang simpanan hari tua mereka kepada satu institusi yang tidak mempunyai 'team' pengurusan risiko yang bertaraf profesionalisme yang tinggi.
Malah sejak beberapa tahun lalu, KWSP tidak mempunyai satu bahagian Pengurusan Risiko Pelaburan. Nasib pencarum dan simpanan hari tua mereka adalah sangat bergantung kepada kelompok ahli panel yang berkepentingan peribadi dalam urusan wang pensen 10 juta ahli KWSP.
Dalam kes pembelian bon Intisna Malakoff pada tahun 2003-2004, KWSP tidak meneliti tentang Piawaian Kredit Malakoff Bhd. Isu Piawaian Kredit dan pelaburan ini tidak pernah disoal oleh bahagian Pengurusan Risiko Pelaburan KWSP, maupun ahli panel pelaburan KWSP. Kenapa?
Apakah bahagian Pengurusan Risiko tidak wujud sama sekali atau tidak ada kualiti profesionalisme yang matang? Dalam prosedur dan Panduan Piagam Piawaian Rating Agency Malaysia dan lain-lain badan piagam piawaian kredit antarabangsa; piawaian kredit penjual tenaga harus dipiawai satu tangga lebih rendah dari pembeli tenaga eletrik, tetapi dalam piawaian kredit bon intisna Malakoff, KWSP bukan saja tidak merujuk kepada piagam RAM, malah menafikan pencarum pulangan dividen yang lebih tinggi.
Penurunan piawaian Malakoff kepada 'AA' akan memastikan KWSP sebagai pembeli bon Intisna seharusnya menerima dividen 2.5 peratus lebih tinggi daripada apa yang dijanjikan.
Dalam jangka waktu tujuh tahun, ahli KWSP kehilangan pendapatan dividen mereka kerana kolusi dan konflik kepentingan ahli panel pelaburan dan CIMB.
Apakah KWSP mempunyai dana yang terlalu banyak? Setiap bulan KWSP memang menerima caruman sebanyak RM1.7 bilion. Ia merupakan satu sumber dana yang sangat besar untuk tujuan pelaburan. Bagi setiap pengurus dana yang mahir, sumber dana adalah satu punca pelaburan untuk mendapatkan pulangan bagi pelabur.
Dalam suasana krisis kewangan pada tahun 1998, kalau bukan dokongan KWSP, sistem kewangan Malaysia telah runtuh. KWSP telah memainkan peranan penting dalam proses penyelamatan sistem ekonomi dan kewangan negara, terutama sekali program kejuruteraan sosial Malaysia dan dasar ekonomi negara. Sumber dana yang besar untuk dilabur tidak harus dianggap sebagai satu beban oleh KWSP. Ia harus digunakan untuk pembangunan sektor strategik ekonomi Negara.
KWSP perlu mengambilkira tentang tanggungjawab sosial untuk menjanakan perkembangan ekonomi negara dan sebagai satu punca danar pinjaman terakhir kepada kerajaan Malaysia.
Terdapat banyak keputusan yang tidak jelas dan tidak boleh disoalsiasat dalam pelaburan KWSP dalam negara, apakah pelaburan di luar negara akan menjadikan KWSP satu badan pelaburan yang lebih tulus?
Apakah langkah yang perlu diambil? Pertumbuhan simpanan KWSP yang besar tidak harus di anggap sebagai satu beban atau tekanan. Pengurusan KWSP menganggap terlalu banyak wang adalah satu masalah. Sentimen dan paradigma ini menunjukkan kelemahan pengurus dana yang sudah hilang arah tuju dan wawasan untuk mengurus wang simpanan hari tua warga Malaysia.
KWSP tidak harus hanya menumpukan pelaburan ke atas konglomerat yang banyak memanipulasi angka-angka laporan kewengan dan piawaian kredit. Kesimpulannya, pengurus dana KWSP tidak harus hanya mementingkan kepada sedikit kelebihan pulangan pelaburan dari luar negara kerana masih terdapat banyak peluang pelaburan dalam negera yang masih boleh menjamin pulangan yang wajar.
Sektor Iindustri Kecil dan Sederhana dan sektor mikro kredit masih memerlukan perhatian yang banyak untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara dan kesejatheraan rakyat kecil. Kalau pengurus dana perlu melabur di luar negara, maka kita akan perlu satu badan pengawasan bebas untuk memantau kualiti pelaburan dengan taraf etika dan profesionalisne yang tinggi.

