Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Dengan nama Tuhan yang satu, alhamdulillah tim bantuan kemanusiaan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) telah berjaya memasuki Syria.

Pasukan ini kini berada di pinggir bandar Aleppo bagi menyampaikan bantuan kecemasan kepada penduduk yang dipaksa keluar dan berhadapan musim sejuk serendah 3 darjah selsius serta hujan yang masih turun di beberapa kawasan.

Hampir 250,000 penduduk Aleppo dipaksa keluar dan mereka sangat memerlukan.

Projek-projek bantuan rakyat Malaysia di Aleppo telah dihentikan serta merta dan kami hanya berjaya membawa keluar trak agihan air bersih dari bandar Aleppo yang disumbangkan rakyat kita.

Aleppo kini sepenuhnya bawah kawalan rejim Bashar al-Assad dan mereka yang dipaksa keluar mencari perlindungan di beberapa kawasan pinggir bandar Aleppo dan Idlib bawah penguasaan pejuang pembebasan Syria.

Sebahagian mereka terpaksa duduk di khemah-khemah. Sebahagian lagi mendiami kelas-kelas di bangunan sekolah yang ditinggalkan dan sebahagian lagi menumpang di rumah-rumah yang sangat daif di sekitar pinggir bandar Aleppo tanpa kelengkapan cukup bagi menghadapi musim sejuk.

Tim bantuan kini sedang mengagihkan bantuan keperluan musim sejuk khusus kepada pelarian yang diusir keluar dari Aleppo di kawasan-kawasan perkhemahan, sekolah dan rumah-rumah.

Di samping itu, tim juga sedang mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina semula sekolah-sekolah Malaysia yang terpaksa ditutup di Aleppo.

Sejumlah RM500,000 dana bantuan daripada rakyat Malaysia akan dimanfaatkan bagi pengagihan keperluan musim sejuk seperti kit pakaian musim sejuk, pemanas , selimut dan diesel termasuk agihan makanan.

Di samping itu dana awal akan turut disampaikan untuk digunakan bagi membina semula sekolah Malaysia yang terpaksa ditutup di Aleppo.

Sehubungan dengan itu, sejumlah RM500,000 dana tambahan diperlukan untuk misi fasa kedua pada akhir Januari kelak.

Sumbangan rakyat Malaysia ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada hampir 15,000 penduduk Aleppo.

Dalam perkembangan lain, walaupun perjanjian gencatan senjata telah termetrai, kami mendapat laporan masih ada serangan yang berlaku di beberapa kawasan di pinggir bandar Aleppo kelmarin.

Malah serangan di Sarmada, Idlib semalam menggambarkan gencatan senjata umpama sesuatu yang mustahil berlaku di Syria.

Justeru kami terus diperingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam setiap pergerakan apatah lagi beberapa buah helikopter dikesan berlegar-legar di ruang udara pinggir bandar Aleppo ketika petugas MLLFS sedang menyampaikan bantuan.

Namun begitu keadaan secara amnya aman dan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

MLLFS menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengirimkan doa agar petugas kemanusiaan yang membawa sumbangan rakyat Malaysia ke Syria akan terus dipelihara dan berjaya menyempurnakan bantuan kepada rakyat Syria.

MLLFS juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan rasa terima kasih daripada rakyat Syria kepada rakyat Malaysia yang terus prihatin dengan keadaan mereka walaupun berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari bumi Syria.

Berikut adalah maklumat untuk rakyat Malaysia menyampaikan sumbangan kepada rakyat Syria.

E-mel: [email protected]
Web:www.malaysia4syria.org
Telefon: +603-41416732 / 0122409173


Demi Syria, Untuk Ummah!


SYAHRIR AZFAR MOHD SALLEH ketua misi merangkap ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Life Line for Syria.

Lihat Komen
ADS