Apa gunanya garis panduan pemakaian?
Saya ingin merujuk kepada surat saudara Ibnuamir , yang mengesyorkan supaya menteri wanita memakai tudung. Pada pandangan saya, apa gunanya ada garis panduan pemakaian (tudung) sekiranya sikap, perangai dan kelakuan pula sebaliknya. Sebelum saya mengulas lebih lanjut, jangan pula membuat kesimpulan bahawa wanita yang memakai tudung itu semuanya berperangai tidak senonoh. Itu tidak benar sama sekali.
Saya amat bersetuju dengan saudara tentang 'kepimpinan melalui teladan'. Jika seseorang menteri wanita itu memakai tudung kerana kepentingan agama atau mempunyai budi pekerti yang baik, maka dia sebenarnya seseorang yang memimpin melalui teladan.
Saya lebih rela mempunyai pemimpin wanita yang asli dan tulus terhadap dirinya, kewanitaannya, pewatakkannya dan juga nilai-nilai hidupnya (walaupun dia tidak bertudung) daripada yang memakai tudung demi memanipulasikan pandangan rakyat yang dia sebenarnya adalah seorang yang alim, lagi baik orangnya.
Sekadar memakai tudung kerana adanya garispanduan tidak menjadikan seseorang itu baik atau alim. Hanya jika seseorang itu berbuat demikian kerana pemikirannya kini sudah beralih (demi kepercayaannya dan pegangan), maka barulah ramai akan mencontohinya.
Contohnya, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan Wardina (bekas model) yang menukar identiti pemakaiannya, mempunyai impak besar, terutama terhadap golongan muda dan wanita secara amnya. Ini kerana keputusan mereka 'tulen dan ikhlas".
Saya amat sedih bila saja ada orang cuba mencadangkan garispanduan mengenai apa yang harus dipakai, apa yang harus dibuat dan sebagainya. Kita tengoklah Universiti Utara Malaysia dengan garispanduan pakaian yang sangat serius.
Semasa yang menuntut di Universiti Malaya (UM) dua tahun duhulu, saya ketawa sinis dan menggelengkan kepala apabila terdengar berita mengenai kemungkinan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengeluarkan garispanduan pakaian, antaranya pelajar lelaki berpakaian seluar panjang yang kemas, rambut tidak melebihi leher, berkemeja-T dan berkasut.
Walaupun UM baru-baru ini dikritik tentang ketidakadilannya dalam mengurus kes Dr Edmund Gomez (yang juga bekas pensyarah saya), saya harus menekankan bahawa pada masa ini, UM merupakan satu-satunya universiti yang bebas dalam garis panduan pemakaian pelajarnya.
Contohnya, jeans koyak, kemeja 'rock', rambut panjang dan selipar jepun, dibenarkan. Tetapi pelajar yang sama, memakai pakaian yang elok dan penuh hormat apabila menghadiri seminar, ucapan, muzikal, mesyuarat persatuan atau perjumpaan dengan naib canselor dan sebagainya.
Pada pandangan saya, jangan selalu ingin menjadikan perkara yang remeh sebagai sesuatu yang penting dan harus diberikan masa untuk berdebat mengenainya. Cara pemakaian, tudung atau tak tudung, itu semuanya pewatakan dan kepercayaan tersendiri.
Daripada kabinet kita membuang masa untuk berdebat tentang garis panduan pemakaian menteri wanita, lebih baik ia membincangkan tentang strategi mengapuskan rasuah, politik wang, ISA dan sebagainya.
Pihak pihak universiti kita juga tidak perlu membuang masa untuk memikir tentang garispanduan kod pemakaian yang sopan bagi mahasiswanya, atau mahasiswa mana yang bervokal politik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.