Rompakan yang dilindungi undang-undang
Pada 3 Julai yang lalu, saya menggunakan lebuhraya Plus dari Air Hitam ke Kuala Lumpur. Selepas 10 minit perjalanan dari Plaza Tol Air Hitam, saya terpaksa memandu perlahan-lahan (di bawah 100km sejam) kerana kesesakan lalulintas menghala ke utara.
Kira kira jam 7.50 malam, kenderaan saya menghampiri susur keluar ke Simpang Empat /Alor Gajah. Kesesakan begitu teruk dan saya bergerak selaju 5-10 km sejam dan kadangkala terhenti terus.
Apabila menghampiri susur keluar ke Senawang/Seremban, barulah saya dapat bergerak 50 hingga 80km sejam kerana satu laluan bertentangan dibuka untuk lalulintas susur keluar Seremban/Labu.
Aliran trafik sesak dan terlalu perlahan juga kadang-kadang terus terhenti. Saya hanya sampai ke Plaza Tol Sg Besi pada pukul 9.40 malam.
Perjalanan Air Hitam Kuala Lumpur yang biasa mengambil masa kira-kira dua jam, telah mengambil masa empat setengah jam.
Selain bayaran tol yang tinggi, pengguna juga terpaksa membayar penggunaan petrol yang lebih. Sudah tentu apabila memandu dalam kesesakan yang memerlukan banyak penukaran gear pasti akan menggunakan petrol yang lebih banyak.
Menjadi hak asas pengguna memilih untuk tidak membayar atau membayar sebahagian sahaja apabila perkhidmatan atau barangan yang diperolehi tidak memuaskan hati.
Orang ramai menggunakan lebuhraya dan dipaksa membayar tol yang mahal untuk mempercepatkan perjalanan. Maka berdasarkan kejadian 3 Julai itu, jelas pengguna tertipu perjalanan lebih lambat di lebuhraya, dan apabila sampai di plaza tol, tiada pilihan dan terpaksa menjelaskan bayaran penuh tol.
Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, Plus dituntut tidak mengutip atau sekurang-kurangnya memberikan potongan bayaran tol kerana gagal memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna. Tetapi Plus sebaliknya tetap mengutip kutip berkali ganda dari hari biasa dengan tidak memperdulikan apa yang berlaku.
Sebaik sahaja susur keluar Seremban/Port Dickson, sebuah kereta polis trafik diletakkan di tepi lebuhraya dan dua anggota polis trafik berunifom mengarahkan pemandu menggunakan lorong kecemasan bagi mengurangkan kesesakan.
Tetapi sebaik tiga empat km selepas tol Seremban/Labu sebuah kereta (Wira) polis trafik telah kelihatan menahan dan menyaman kenderaan yang dipandu di lorong kecemasan. Saya sungguh terkejut dan pelik.
Secara sengaja atau tidak sengaja, ini satu 'rompakan'! Polis bertindak seperti pemburu yang memasang umpan untuk menarik perhatian haiwan supaya masuk perangkap.

