PAS patut sesuaikan ceramah dengan keadaan setempat
Jika selama ini media PAS sering mengutarakan kelemahan parti pemerintah, Umno serta Barisan Nasional (BN), maka sudah sampai masanya mereka juga harus dari masa ke semasa mengutarakan kelemahan dalam PAS sendiri bukannya mengkritik seseorang individu secara tertentu, tetapi untuk memperbaiki PAS secara keseluruhannya.
Tidak dapat dinafikan, pemimpin seperti Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man yang sejak sekian lama dalam perjuangan Islam ini, mempunyai gaya yang tersendiri untuk menarik pendengar memberi penuh tumpuan kepada ceramah mereka.
Namun. terdapat juga beberapa penceramah di kalangan pimpinan PAS sama ada di peringkat pusat, megeri atau kawasan yang perlu diperbaiki lagi agar mesej yang hendak disampaikan adalah jelas.
Suasana dan penonton di tempat ceramah hendaklah dinilai terlebih dahulu oleh penceramah bagi menyesuaikan gaya bahasa mereka dengan citarasa penduduk setempat.
Oleh itu, penampilan PAS di khalayak umum boleh diperbaiki, terutama mereka yang baru berjinak-jinak di pentas ceramah. Mungkin apa yang kita perkatakan itu benar, tetapi cara penyampaian yang tidak teratur dan lemah, akan menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada PAS terhakis.
Berikut ialah komen daripada seorang ahli PAS mengenai satu ceramah:
"Malam tadi penceramah menggunakan istilah yang agak kasar. Saya sebagai orang PAS pun tak sanggup nak dengar apatah lagi orang Umno. Saya perhatikan ramai juga yang angkat punggung balik apabila penceramah tadi sedang berceramah"
Diharapkan, para pimpinan di peringkat pusat dan negeri akan mengambil berat perkara ini serta membuat sistem penilaian yang berkesan ke atas setiap penceramah mereka dan diberi teguran secara berhemah.

