Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
K’jaan harus tegas cegah pencerobohan nelayan asing

Saya ambil maklum penangkapan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap 63 nelayan warga Myanmar di perairan Pulau Pinang.

Nelayan asing ini dikatakan menangkap ikan menggunakan enam buah bot 'barter trade' dan telah ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana tidak mempunyai permit yang sah ke negara ini.

Pencerobohan demi pencerobohan telah dilaporkan saban tahun, kerajaan seharusnya bertegas terhadap kapal-kapal nelayan asing haram yang merompak sumber laut negara ini.

Masalah sedia ada iaitu faktor alam seperti cuaca yang tidak menentu sudahpun menyempitkan rezeki nelayan.

Masalah bot-bot pukat tunda yang menceroboh kawasan nelayan pantai sudah berpuluh tahun hingga sekarang belum juga dapat diselesaikan oleh pihak penguatkuasa.

Dengan pencerobohan nelayan asing semakin sempit dan sukarlah untuk nelayan tempatan memperolehi hasil yang dapat memberi keselesaan kepada kehidupan mereka.

Selain ancaman keselamatan, kemasukan nelayan asing ini turut menyumbang kepada kerosakan hidupan marin selain menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan.

Jika pihak berkuasa mengatakan kegiatan pencerobohan nelayan asing di kawasan perairan negara telah dapat dipatahkan tetapi tidak bagi komuniti nelayan tempatan kerana mereka sudah jemu melaporkan kepada pihak berwajib akan permasalahan ini kerana tindakan yang diambil seringkali lambat dan kurang berkesan.

Bagaimana nelayan asing boleh sewenang-wenangnya menceroboh perairan negara? Jika ia sering berlaku, memberi petunjuk bahawa kawalan keselamatan negara kita masih di tahap lemah.

Saya menggesa pihak berwajib supaya memandang serius dengan isu pencerobohan nelayan asing supaya dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Prihatinlah kepada nasib nelayan yang banyak bergantung kepada sumber laut untuk menampung kehidupan mereka.


DATUK ABD HALIM HUSSAIN adalah mantan Speaker DUN Pulau Pinang dan Ketua Cabang PKR Balik Pulau.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS