Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
P Pinang juara Indeks Akauntabiliti Laporan Ketua Audit Negara 2016

Pulau Pinang adalah juara Malaysia dalam Indeks Akauntabiliti Laporan Ketua Audit Negara 2016 dan meneruskan prestasi cemerlang mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun sejak 2008 dengan keuntungan sebanyak RM89 juta pada 2016.

Selain daripada mencatatkan hutang kerajaan negeri yang paling kecil dalam negara (sebanyak RM66 juta) iaitu pengurangan 90 peratus, kerajaan negeri juga berjaya menambahkan aset rizab daripada RM849 juta pada 2008 kepada RM1,828 juta pada akhir 2016 iaitu kenaikan hampir RM1 bilion.

Laporan Audit menyatakan bahawa perbelanjaan pembangunan kerajaan negeri kurang memuaskan kerana walaupun sejumlah RM307.45 juta atau 88.8 peratus direkodkan sebagai perbelanjaan tetapi sebanyak RM73.61 juta daripada jumlah perbelanjaan terlibat telah diselaraskan kepada Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri (JKN).

Adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu bahawa RM73.61 jtua telah hilang atau disonglap oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Maka Laporan Audit tidak pernah menyatakan wang ini disonglap oleh mana-mana pihak ataupun hilang. Sebaliknya ia masih dalam akaun kerajaan negeri dan tidak pernah dipindahkan ke mana-mana akaun swasta.

Tindakan yang menimbulkan perhatian Laporan Audit ke atas RM73.16 juta diambil oleh Jabatan Kewangan Negeri kerana mengambil kira kepada komitmen pembiayaan untuk projek-projek kerajaan negeri seperti berikut:

  1. Pinjaman RM70 Juta kepada PDC untuk tujuan membiayai kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur dalam menggalakkan pembangunan yang seimbang di Seberang Perai. Pinjaman yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada PDC ialah pada “ceiling” atau tahap RM679 juta, di mana RM70 juta disediakan dalam bajet pembangunan 2016 dan RM609 juta selebihnya dalam bajet pembangunan 2017. Memandangkan PDC sehingga pada akhir tahun kewangan 2016 tidak memohon pengeluaran pinjaman tersebut, maka amaun tersebut telah diselaraskan oleh Jabatan Kewangan Negeri(JKN) kepada Akaun Amanah JKN. Ini bagi membolehkan pengeluaran pada 2017 dan supaya tidak menjejaskan perancangan bajet pembangunan 2017 nanti. Bagaimanapun, pinjaman pertama RM70 juta kepada PDC telahpun dijelaskan oleh PDC pada 23 Ogos 2017, dan kini sifar tanpa sebarang pinjaman yang dihutang kepada JKN kerajaan negeri.
  2. Jumlah RM3.61 juta selebihnya yang diselaraskan kepada Akaun Amanah JKN ialah untuk pembiayaan 24 projek kecil yang merangkumi projek-projek penyelenggaraan perumahan maksima 80:20 bagi perumahan swasta kos rendah dan sederhana rendah, projek arkeologi Guar Kepah dan pembiayaan program-program pendidikan. Daripada 24 projek terlibat, 12 telah disiapkan setakat ini bagi tahun semasa 2017 dengan jumlah perbelanjaan RM637,821.51. Dua belas projek selebihnya adalah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Jabatan Kewangan Negeri juga ingin mengesahkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa premium tanah dalam akaun amanah JKN bukanlah hanya premium penjualan tanah tetapi juga merangkumi premium tukar syarat tanah dan premium melanjutkan tempoh pajakan tanah kepada 99 tahun. Memang benar sejak 2008, premium tanah hasil penjualan tanah kerajaan negeri adalah RM939 juta.

Daripada jumlah hasil jualan tanah ini iaitu sebanyak RM939.2 juta, RM500 juta perlu diberikan kepada PDC untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik kepada golongan bawah.

Ini menjadikan jumlah hasil jualan tanah kerajaan negeri sebenarnya di bawah kerajaan negeri hanya RM439.32 juta atau 10.4 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil negeri sebanyak RM4.22 bilion.

Perlu disebutkan jumlah terkumpul lebihan belanjawan atau keuntungan (surplus) kerajaan negeri sejak 2008 adalah RM667 juta.


DATUK SARUL BAHIYAH ABU ialah pegawai kewangan Pulau Pinang.

Kenyataan ini adalah pandangan peribadi pihak yang mengeluarkannya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS