Paling Popular
Terkini

Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menjawab tentang dakwaan media antarabangsa, bahawa mereka membeli sebuah bangunan di Jalan Swaston, Melbourne, pada harga jauh lebih mahal berbanding harga jualan seminggu sebelum itu.

Harga belian sebelum itu ialah A$23.5 juta (RM73.82 juta) sebelum ia dijual pula pada harga A$41.8 juta (RM131.2 juta).

Transaksi hartanah oleh MARA itu sangat mencurigakan apabila harga pembeliannya 177 peratus lebih tinggi berbanding harga asal hanya selang beberapa minggu sebelum itu.

Merujuk kepada The Sydney Morning Herald, portal itu menyatakan bahawa sejurus transaksi hartanah ini berjaya dijalankan oleh MARA, wang sebanyak A$3.2 juta (RM10.05 juta) dimasukkan ke akaun bank peribadi bekas pengerusi Mara Inc.

"That's a joke," adalah respon bekas pemilik bangunan tersebut, Lionel Harber, yang baru saja menjualnya kepada sebuah syarikat luar persisir selang beberapa minggu sebelum itu dengan harga A$23.5 juta (RM73.82 juta).

Hartanah itu kemudian dijual semula kepada Mara Inc pada harga AS$41.8 juta (RM131.2 juta).

Ini adalah pembelian yang sangat mencurigakan dan memburukkan nama baik Malaysia di mata dunia.

Jangan pula muncul kleptokrat baru versi Jho Low 2.0 yang memalukan lagi nama baik Malaysia.

Dalam keadaan pihak MARA kekurangan dana sehingga pinjaman dan biasiswa mahasiswa digantung pun mereka masih tergamak melakukan transaksi yang cukup dicurigai ini.

Soal pendidikan sepatutnya menjadi keutamaan. Jangan disebabkan sikap ini, anak muda Malaysia terpaksa menerima tempiasnya.

Justeru, Pemuda Parti Amanah Negara menggesa MARA bersikap jujur dan mendedahkan secara telus pembelian aset itu dibeli supaya tiada wang rakyat yang tiris dan pembelian berkenaan benar-benar mendatangkan keuntungan tinggi kepada rakyat.


MOHD AMMAR ATAN ialah pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS