Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya mengambil maklum mengenai kenyataan Pengarah Urusan rantaian hypermarket popular Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin bahawa pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit mereka walaupun Malaysia mungkin akan menyaksikan pertumbuhan dalam negara yang kukuh.

Menurutnya, jualan hypermarket terus menyaksikan penguncupan di mana hypermarket dan pasar raya besar di Malaysia yang menguasai 50 peratus pasaran runcit menyaksikan pertumbuhan negatif.

Jelasnya, pada suku pertama, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5.6 peratus manakala jualan runcit menyusut sebanyak 1.2 peratus dan jualan hypermarket pula menguncup sebanyak 4.8 peratus.

Kenyataan Datuk Wira tersebut secara jelas telah mengesahkan apa yang diperkatakan semua pihak sebelum ini iaitu rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat sehingga tidak mempunyai kuasa untuk membeli.

Malah, kenyataan beliau itu juga menjadi fakta yang menjawab penutupan pasaraya besar seperti Giant akhir tahun lalu.

Rakyat kini lebih berhati-hati untuk berbelanja ekoran harga barang yang semakin mahal ditambah pula dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Untuk makluman, sebelum ini syarikat Mydin telah bekerjasama dengan projek Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), namun ia tidak bertahan lama kerana menurutnya pasaraya Mydin mengalami kerugian lebih RM100 juta disebabkan keadaan ekonomi yang menekan rakyat.

Keadaan kos sara hidup yang tinggi ini bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga semata-mata sebaliknya memberi kesan berantai kepada pekerja di syarikat tersebut kerana untuk menampung kerugian yang dialami, Mydin terpaksa melaksanakan pemotongan kos yang sangat ketat secara besar-besaran, dan tidak mengambil pekerja baru serta tidak menaikkan gaji pekerja.

Kesimpulannya menteri kerajaan Umno usahlah menafikan lagi tentang realiti bebanan kos hidup rakyat apabila pemain industri sendiri telah mengakui hal tersebut.


LEE CHEAN CHUNG Merupakan ADUN Semambu dan Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK).

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS