Bajet Kelantan untuk rakyat
Tindakan pihak pembangkang (Umno) dalam dewan undangan negeri Kelantan mengkritik Bajet Kelantan 2006 tidak mengejutkan .
Ini selari dengan dasar kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat. Lihat sahaja apa yang disuarakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan sokongan dua ahli parlimen Barisan Nasioanal iaitu Dato' Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dan Dato' Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan) terhadap isu AP di parlimen baru-baru ini terhadap usul yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang.
Najib dengan tegas menyatakan bahawa langkah yang dibuat oleh dua ahli parlimen itu adalah bertentangan dengan dasar parti.
Ujar Najib lagi, penyokong-penyokong kerajaan tidak boleh menyokong usul yang dibawa oleh wakil pembangkang.
Ini memang sudah terang lagi bersuluh bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan sudah pastilah akan sentiasa ditentang oleh pihak Umno Kelantan.
Namun yang paling penting, apa yang patut difikirkan di sini ialah Bajet Kelantan 2006 itu diaplikasikan kepada rakyat.
Ia untuk rakyat Kelantan walaupun kecil bajetnya. Namun ia adalah untuk faedah rakyat, bukan untuk projek-projek mega atau menyelamatkan kroni.

