Salur geran pembangunan kepada kerajaan PAS
Sebagai rakyat Kelantan saya amat menyokong pemberian geran pembangunan kepada kerajaan-kerjaan negeri termasuk Kelantan yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Tambahan geran pembangunan tahunan kerajaan persekutuan sebanyak RM120 juta kepada negeri-negeri di Malaysia.
Kelantan telah diberikan peruntukan RM28.6 juta daripada RM120 juta yang ddiperuntukkan itu. Ini ditambah lagi dengan pelupusan hutang kerajaan-kerajaan negeri iaitu sebanyak RM211 juta. Diharapkan hutang yang ditanggung oleh kerajaan Kelantan yang diwarisi dari kerajaan Umno sebelum era 90-an turut diambil kira untuk turut dilupuskan.
Namun begitu,saya amat sangsi dengan cara peruntukkan itu akan disalurkan. Kalau diikutkan dengan rasmi kerajaan Pusat, kita lihat telah saksikan segala peruntukan yang dirancang akan disalurkan kepada pemimpin-pemimpin Umno.
Ini dapat dilihat dari apa yang berlaku di Terengganu sewaktu PAS memerintah dahulu. Duit royalti yang berkurun lamanya diberikan kepada kerajaan negeri, tiba-tiba sahaja dirampas oleh kerajaan Pusat dan dijenamakan dengan nama 'Wang Ihsan'. Wang itu disalurkan kepada pemimpin Umno Terengganu. Adakah pisang akan berbuah dua kali lagi?
Kesangsian saya dikuatkan lagi dengan laporan akhbar baru-baru ini dimmana semua Bahagian Umno di Kelantan disarankan merangka pelan bertindak jangka panjang masing-masing bagi merampas pemerintahan Kelantan dari PAS.
Seandainya benar dengan kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan RM28.6 juta kepada Umno Kelantan dan dinamakan pula hasil pembangunan dari peruntukan itu sebagai 'Satu Lagi Hasil Pembangunan BN', ia adalah suatu yang amat dikesali.
Pasti peruntukan itu akan digunakan sebagai pentas untuk mendabik dada bahawa Umno Kelantanlah pembela rakyat. Dan pada masa yang sama, mungkin beberapa peratus dari peruntukan itu akan menjadi 'habuan' untuk pemimpin-pemimpin Umno Kelantan.
Saya rasa lebih selamat dan terjamin jika geran pembangunan itu disalurkan terus kepada Kerajaan PAS Kelantan sekarang untuk diuruskan.
Apa kata pula kata Pak Lah? Adakah pemikiran Pak Lah masih sama dengan pemikiran PM yang dahulu? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

